[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Indonesia tangguh respons terhadap polisi tarif AS, perbincangan masih berlangsung

Bernama 03/04/2025 | 13:14 MYT
Tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 2 April termasuk duti sebanyak 32 peratus ke atas import dari Indonesia. - Reuters
JAKARTA: Indonesia memerlukan lebih banyak masa untuk menilai secara terperinci kesan ekonomi daripada polisi tarif baharu Amerika Syarikat sebelum mengumumkan pendirian rasmi.
Penangguhan itu berlaku di tengah-tengah rundingan berterusan antara kementerian dan agensi kerajaan bagi menyelaraskan respons negara terhadap langkah perdagangan AS.
Sehubungan itu, sidang media yang dijadualkan pada 10.45 pagi Khamis bagi mengumumkan pendirian Indonesia telah ditunda.
"Polisi tarif AS sangat kompleks, merangkumi pelbagai jenis komoditi dan memerlukan perbincangan lanjut antara pelbagai jabatan kerajaan," menurut kenyataan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia.
Kementerian itu mengesahkan bahawa sidang media akan ditunda sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.
Sidang media itu pada awalnya dijadualkan melibatkan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto, Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati, Menteri Perdagangan Budi Santoso, Menteri Luar Negeri Sugiono dan Timbalan Menteri Perindustrian Faisol Riza.
Tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 2 April termasuk duti sebanyak 32 peratus ke atas import dari Indonesia.
Trump mempertahankan langkah itu dengan menuduh Indonesia mengamalkan peraturan kandungan tempatan, sistem pelesenan import yang kompleks, serta peraturan baharu yang mewajibkan firma sumber asli memperoleh hasil eksport melebihi AS$250,000 di dalam negara.
Institut kajian berpangkalan di Jakarta, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), memberi amaran bahawa langkah itu boleh mencetuskan kemerosotan ekonomi di Indonesia menjelang suku akhir 2025.
Pengarah eksekutif Celios, Bhima Yudhistira berkata peningkatan tarif terbabit akan memberi kesan besar terhadap eksport Indonesia ke AS dan boleh menjejaskan hubungan perdagangan dengan negara lain.
"Sektor automotif dan elektronik akan menjadi antara yang paling terjejas," katanya kepada agensi berita Antara.
-- BERNAMA
#tarif #Amerika Syarikat #Indonesia #kesan ekonomi