Skip to main content

Dunia

Indonesia tutup sembilan taman negara kepada aktiviti pendakian susulan risiko kebakaran hutan

Sumber: Adobe Stock
Penutupan berkuat kuasa mulai pengumuman pada 31 Ogos dan kekal sehingga diberitahu kelak, tertakluk kepada penilaian risiko kebakaran hutan dan tanah oleh pihak berkuasa Indonesia. - Gambar hiasan
Advertisement

KERAJAAN Indonesia mengumumkan penutupan sementara aktiviti pendakian di sembilan taman negara berikutan risiko tinggi kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan perlindungan negara itu.

Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, berkata langkah itu diambil bagi melindungi keselamatan pendaki selain membolehkan pihak berkuasa menumpukan sumber serta aset pemadaman kebakaran di kawasan yang terjejas.

“Akan ada surat edaran rasmi daripada Ketua Pengarah Pemuliharaan Sumber Asli dan Ekosistem (KSDAE), namun saya boleh mengumumkan penutupan sementara sembilan taman negara,” katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan pengurusan kebakaran hutan dan tanah di Palembang, Sumatera Selatan, pada Isnin.

Menurut beliau, kebakaran yang berlaku di beberapa taman negara telah meningkatkan beban operasi pemadaman sehingga memaksa kerajaan mengalihkan beberapa helikopter pengebom air yang sebelum ini ditugaskan di wilayah keutamaan.

“Disebabkan kebakaran luar biasa di beberapa taman negara, helikopter berkenaan turut perlu digunakan di kawasan tersebut,” katanya.

Antara taman negara yang ditutup sementara kepada aktiviti pendakian ialah:

Taman Negara Bromo Tengger Semeru (laluan Gunung Semeru)
Taman Negara Kerinci Seblat
Taman Negara Gunung Ciremai
Taman Negara Tambora
Taman Negara Manusela
Taman Negara Bukit Baka Bukit Raya
Taman Negara Gunung Gede Pangrango
Taman Negara Gunung Leuser
Taman Negara Lorentz (laluan Ilaga, Tsinga, Sugapa dan Ugimba)

Raja Juli menegaskan larangan itu bersifat sementara dan bukan bertujuan menyekat aktiviti pelancongan alam semula jadi, sebaliknya untuk mengurangkan risiko keselamatan kepada pengunjung.

Beliau turut merujuk insiden kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru yang menyebabkan kira-kira 170 pendaki terperangkap sebelum berjaya diselamatkan.

Dalam masa yang sama, beberapa kawasan konservasi masih dibuka secara terhad dengan pemantauan ketat dan hanya melibatkan zon yang dianggap selamat.

Ia termasuk Taman Negara Gunung Rinjani, Gunung Merbabu, kawasan perlindungan Hidupan Liar Dataran Tinggi Hyang (Gunung Argopuro) dan Taman Negara Gunung Halimun Salak.

Langkah terbaru ini diambil ketika Indonesia terus berdepan ancaman kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah, termasuk Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Setakat kenyataan yang dibuat pada Isnin (31 Ogos 2026), Kementerian Perhutanan Indonesia tidak menyatakan tarikh tamat atau tempoh penutupan.

Raja Juli berkata pengumuman itu dibuat sebagai notis awal kepada orang ramai, manakala surat pekeliling rasmi akan dikeluarkan kemudian.

Penutupan berkuat kuasa mulai pengumuman pada 31 Ogos dan kekal sehingga diberitahu kelak, tertakluk kepada penilaian risiko kebakaran hutan dan tanah oleh pihak berkuasa Indonesia.

Must Watch Video

Advertisement