DUNIA

Indonesia umum pakej rangsangan ekonomi hampir AS$1 bilion

Agensi 16/09/2025 | 02:40 MYT
Beberapa kenderaan melintasi jalan utama kawasan pusat perniagaan di Jakarta, Indonesia pada 2 September 2025. Indonesia mencatat pertumbuhan 5.12 peratus pada suku kedua tahun ini – prestasi terbaik dalam tempoh dua tahun. - Gambar Reuters
JAKARTA: Indonesia pada Isnin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai 16.23 trilion rupiah (AS$989.33 juta), meliputi bantuan makanan dan program pembangunan infrastruktur yang dijangka menyediakan pekerjaan sementara kepada lebih 600,000 individu.

Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, langkah itu akan dilaksanakan pada suku keempat 2025, dengan sebahagian inisiatif turut dilanjutkan hingga 2026.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mencatat pertumbuhan 5.12 peratus pada suku kedua tahun ini – prestasi terbaik dalam tempoh dua tahun – namun beberapa pembuat dasar memberi amaran terdapat tanda-tanda kelembapan pada suku berikutnya.

“Dengan pakej rangsangan ini, kami berharap dapat mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus tahun ini,” kata Airlangga kepada pemberita.

Kerajaan akan menyalurkan bantuan beras sebanyak 10 kilogram kepada 18.3 juta isi rumah pada suku keempat, selain mengecualikan cukai pendapatan individu bagi pekerja sektor pelancongan serta memperuntukkan 5.3 trilion rupiah bagi skim cash for work yang melibatkan lebih 600,000 orang sepanjang September hingga Disember.

Skim cash for work lazimnya memberi upah harian kepada pekerja, khususnya komuniti luar bandar, untuk projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan jambatan.

Selain itu, pakej tersebut turut merangkumi program latihan industri berbayar untuk 20,000 graduan universiti, serta potongan 50 peratus ke atas bayaran polisi insurans kemalangan kerja bagi pemandu e-hailing motosikal dan lori.

Airlangga menjelaskan, pengecualian cukai pendapatan untuk sektor tertentu dan skim insurans itu akan dilanjutkan sehingga 2026.

Cukai perniagaan kecil yang sepatutnya dinaikkan kepada 1 peratus tahun depan daripada kadar semasa 0.5 peratus, diputuskan kekal sehingga 2029.

Mulai 2026, kerajaan juga akan melancarkan program penanaman semula seluas 870,000 hektar ladang membabitkan komoditi seperti tebu, koko, kopi, gajus, buah pala dan kelapa – inisiatif yang dijangka mewujudkan 1.6 juta pekerjaan baharu.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa pula berkata, langkah itu tidak akan menjejaskan unjuran defisit belanjawan 2025, yang kini dianggarkan pada kadar 2.78 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - Agensi




#Indonesia #pakej rangsangan ekonomi #bantuan beras #cash for work