Indonesia usul tambahan 21,000 polis hutan tingkatkan pengawasan hutan

Raja Juli Antoni mencadangkan penambahan 21,000 anggota polis hutan bagi meningkatkan pengawasan hutan di seluruh negara susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Sumatera yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan penyahhutanan.
JAKARTA: Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni mencadangkan penambahan 21,000 anggota polis hutan bagi meningkatkan pengawasan hutan di seluruh negara, menurut laporan media tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.
Cadangan itu dibuat susulan kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini di Sumatera yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan penyahhutanan, menurut laporan.
Pada masa ini, Indonesia mempunyai kira-kira 4,800 anggota polis hutan.
Pelan tersebut bertujuan meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 25,000 anggota, berdasarkan nisbah ideal seorang polis hutan bagi setiap 5,000 hektar kawasan hutan.
Penambahan anggota itu dijangka memperbaiki pemantauan pembalakan haram, meningkatkan keselamatan hutan serta menyesuaikan pengawasan dengan ciri-ciri wilayah dan tekanan populasi.
Kementerian itu turut mencadangkan penambahan bilangan Unit Penguatkuasaan Undang-Undang Perhutanan daripada 10 kepada 24 unit.
Unit yang diperluas itu akan dilengkapi dengan fungsi perlindungan hutan serta keupayaan kawalan kebakaran hutan dan tanah di setiap provinsi.
Raja Juli menekankan keperluan penyelarasan yang lebih tersusun antara kerajaan pusat dan daerah.
Bagi menyokong usaha ini, kementerian telah mencadangkan penubuhan 35 Pusat Penyelaras Perhutanan Wilayah untuk berfungsi sebagai hab penyelarasan dasar dan memudah cara kerjasama dengan kerajaan tempatan serta forum penyelarasan kepimpinan daerah.
"Penubuhan pusat penyelarasan ini akan menjadikan pelaksanaan program perhutanan lebih tersusun dan bersepadu, dari peringkat pusat hingga ke lapangan," kata Raja Juli seperti dipetik oleh media tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


