DUNIA

Indonesia wajibkan pensijilan halal untuk makanan, kosmetik mulai Oktober 2026

Astro Awani 25/01/2026 | 06:45 MYT
Kerajaan Indonesia menjelaskan kewajipan tersebut turut merangkumi produk kimia, biologi dan barangan hasil kejuruteraan genetik. -Gambar fail/Adobe Stock
JAKARTA: Indonesia mengesahkan bahawa pensijilan halal wajib akan diperluas kepada lebih banyak kategori produk termasuk makanan, minuman, barangan pengguna dan kosmetik menjelang 17 Oktober 2026, selaras dengan fasa baharu pelaksanaan Jaminan Produk Halal (JPH).

Pengumuman itu dibuat Kementerian Agama melalui Direktorat Jaminan Produk Halal, sekali gus mengukuhkan kedudukan Indonesia sebagai pasaran halal terbesar dunia, lapor Antara News.

Kerajaan menjelaskan kewajipan tersebut turut merangkumi produk kimia, biologi dan barangan hasil kejuruteraan genetik.

Produk yang tidak mematuhi piawaian halal perlu dilabel jelas sebagai “Tidak Halal” bagi memastikan ketelusan maklumat kepada pengguna.

Pelaksanaan ini tertakluk di bawah Undang-Undang Jaminan Produk Halal 2014, dengan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) menguruskan proses pensijilan manakala Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan ketetapan hukum produk.

Kementerian Agama menekankan bahawa peluasan mandatori ini bukan sekadar pematuhan pentadbiran, tetapi sebahagian strategi memperkukuh industri halal sebagai pemacu ekonomi negara.

BPJPH sebelum ini melancarkan program Pensijilan Halal Percuma dengan kuota melebihi sejuta sijil setiap tahun, dan sekitar 60 hingga 70 peratus peruntukan tersebut disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Produk kosmetik yang sebelum ini diberi tempoh kelonggaran sejak 2014 turut diwajibkan mempunyai pensijilan halal mulai Oktober 2026.

BPJPH ketika ini menyediakan garis panduan khusus untuk sektor kosmetik melalui kerjasama dengan BPOM, Kementerian Perindustrian dan Kementerian Kesihatan, sejajar dengan peningkatan penggunaan produk penjagaan diri dalam kalangan rakyat Indonesia.

BPJPH turut mengesahkan bahawa tiada penangguhan terhadap tarikh akhir pelaksanaan pensijilan halal wajib.

Penyelarasan kod HS, peluasan skop produk dan penyepaduan proses pemantauan bersama BPOM serta Kementerian Kesihatan diperkukuh bagi memastikan semua produk yang beredar mematuhi keperluan halal sebelum 17 Oktober 2026.

Produk yang gagal memenuhi ketetapan boleh dikeluarkan dari pasaran atau disekat di peringkat import.

Indonesia sebelum ini melaksanakan fasa pertama pensijilan halal wajib pada 2024 membabitkan syarikat besar termasuk pengeluar makanan global.

Pelaksanaan fasa kedua pada 2026 melibatkan lebih banyak kategori produk seperti makanan diproses, minuman, herba, suplemen kesihatan dan kosmetik, dan terpakai kepada produk tempatan serta import.









#Indonesia #pensijilan halal #makanan dan kosmetik #BPJPH