[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Inflasi Britain turun melebihi jangkaan, namun tekanan harga bakal meningkat

Bernama 20/04/2025 | 22:50 MYT
Bank of England (gambar) meramalkan CPI boleh mencecah 3.75 peratus menjelang suku ketiga tahun ini. - Foto AP
LONDON: Indeks Harga Pengguna (CPI) Britain mencatat penurunan melebihi jangkaan pada Mac, memberi kelegaan sementara daripada tekanan inflasi, namun petunjuk menunjukkan peningkatan semula tekanan harga bakal berlaku, lapor Xinhua.
Menurut data yang dikeluarkan Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) awal minggu ini, CPI turun kepada 2.6 peratus pada Mac, berbanding 2.8 peratus pada Februari, dan lebih rendah daripada jangkaan pasaran iaitu 2.7 peratus. Penurunan inflasi itu didorong terutamanya oleh kejatuhan harga berkaitan hiburan, budaya dan permainan.
Walaupun inflasi mereda, beberapa bank mula menaikkan kadar simpanan. National Savings and Investments, bank simpanan Kerajaan Britain, menaikkan kadar faedah bon dua tahunnya daripada 3.6 peratus kepada 4 peratus, manakala kadar bon tiga tahun dinaikkan daripada 3.5 peratus kepada 4.1 peratus.
Namun, penganalisis berpandangan bahawa penurunan inflasi pada Mac hanyalah bersifat sementara. Bermula April, beberapa kenaikan harga seperti bil air, cukai majlis, yuran komunikasi dan tarif tenaga dijangka mendorong inflasi meningkat semula.
ONS turut menyatakan bahawa bil isi rumah yang lebih tinggi berkemungkinan membalikkan trend semasa. Tahun lepas, pengawal selia air Ofwat mengumumkan bahawa purata bil air isi rumah di England dan Wales akan meningkat sebanyak 36 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, bersamaan dengan kenaikan lebih GBP10 (sekitar US$13.3) sebulan.
Sementara itu, pengawal selia tenaga Ofgem telah menaikkan had harga tenaga domestik sebanyak 6.4 peratus bermula 1 April.
Melihat kepada prospek ini, banyak badan industri dan institusi penyelidikan menjangkakan penurunan inflasi pada Mac tidak akan bertahan lama.
"Inflasi dijangka melonjak bulan depan susulan kenaikan had harga tenaga oleh Ofgem," kata Ketua Ahli Ekonomi Institute of Directors, Anna Leach.
Senada dengan pandangan itu, Pengarah Penyelidikan British Retail Consortium Kris Hamer berkata: "Penurunan inflasi yang kecil pada Mac dijangka tidak membawa kesan besar apabila angka April dikeluarkan bulan depan."
Pasaran kini menjangka inflasi Britain pada April boleh melebihi 3.5 peratus, sekali gus menamatkan trend penurunan selama dua bulan sebelum ini. Bank of England pula meramalkan CPI boleh mencecah 3.75 peratus menjelang suku ketiga tahun ini.
Berdasarkan data semasa, sesetengah penganalisis percaya bank pusat mungkin melaksanakan pemotongan kadar faedah pada Mei. Inflasi Mac yang lebih rendah daripada jangkaan mungkin membuka ruang untuk pelonggaran dasar.
Namun begitu, sebarang pemotongan kadar dijangka bersifat sederhana. Ketika ini, pemotongan 25 mata asas dijangka, dengan bank kekal berhati-hati. Ketua Ahli Ekonomi Gabungan Industri British (CBI), Martin Sartorius menjangka bank akan terus mengambil pendekatan "beransur-ansur dan berhati-hati" dalam menurunkan kos pinjaman dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.
Menambahkan lagi ketidaktentuan adalah potensi kesan tarif Amerika Syarikat. Leach berkata gangguan berkaitan tarif telah menambah ketidaktentuan terhadap prospek inflasi dan kadar faedah Britain.
Beliau menjelaskan bahawa tarif boleh memberi tekanan ke atas ekonomi Britain dengan melembapkan pertumbuhan global dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran. Justeru, Britain mungkin menyaksikan lebih banyak pemotongan kadar faedah daripada jangkaan awal, sekali gus memberi sedikit sokongan yang diperlukan kepada ekonomi.
-- BERNAMA
#Britain #Inflasi #Indeks Harga Pengguna #Bank of England