SEORANG wanita mengaku bersalah atas tuduhan mengupah pembunuh upahan di Ecuador untuk membunuh ibu mentua dan anak tirinya berusia lima tahun, supaya dapat meluangkan lebih masa bersama bekas suaminya.

Elsy Rodriguez-Garcia, 27, mengaku merancang pembunuhan itu pada 2019 dengan bayaran AS$6,000, lapor New York Post.

Mahkamah bakal menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga enam tahun pada 15 April.

Elsy berpisah dengan suaminya, yang juga bapa kepada seorang anaknya, pada Januari 2019.

Sejurus selepas mereka berpisah, bekas suaminya itu bercuti di Ecuador bersama ibu mentua dan anak tirinya.

Pihak pendakwa raya memaklumkan, Elsy cemburu melihat bekas suaminya itu menghabiskan masa bersama mereka dan berharap dapat 'menyingkirkan' mereka supaya dapat kembali ke pangkuan bekas suaminya itu.

Bekas suaminya itu mendapat tahu rancangan tersebut dan memberitahu pihak polis.

Elsy kemudian ditahan polis pada 13 Julai.