[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Ini 20 cadangan Trump, Netanyahu untuk Palestin

Astro Awani 29/09/2025 | 22:20 MYT
Antara yang digariskan termasuk tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza, mereka bebas untuk keluar dan kembali semula. - Gambar Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan semalam (Isnin) sebagai “hari bersejarah untuk keamanan” selepas membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza.

Perkara itu dibentang beliau dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House.

Menurut Trump, kedua-dua pihak kini “terlalu hampir" untuk mencapai penyelesaian, dengan pelan tersebut merangkumi aspek keselamatan, kemanusiaan, ekonomi dan politik.

Berikut adalah ringkasan penting 20 perkara pelan damai yang diumumkan Trump:
  1. Gaza Bebas Ancaman Keganasan: Gaza akan dijadikan zon bebas keganasan dan tidak akan menjadi ancaman kepada negara jiran.
  2. Pemulihan Gaza Demi Rakyatnya: Projek pembangunan semula Gaza akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat yang telah lama menderita.
  3. Gencatan Senjata Serta-Merta: Jika pelan diterima, semua operasi ketenteraan akan dihentikan serta-merta dan tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui.
  4. Pembebasan Tebusan Dalam 72 Jam: Semua tebusan, sama ada hidup atau telah meninggal dunia, akan dikembalikan dalam tempoh 72 jam selepas Israel menerima pelan ini.
  5. Pertukaran Tahanan: Israel akan membebaskan 250 tahanan yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 1,700 rakyat Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober 2023, termasuk wanita dan kanak-kanak.
  6. Pengampunan Kepada Anggota Hamas Yang Mahu Berdamai: Anggota Hamas yang bersetuju untuk hidup secara aman dan melucutkan senjata akan diberikan pengampunan atau laluan selamat ke negara penerima.
  7. Bantuan Kemanusiaan Segera: Bantuan berskala besar akan dihantar ke Gaza termasuk pemulihan infrastruktur asas seperti air, elektrik dan hospital.
  8. Agensi Antarabangsa Urus Bantuan: Agihan bantuan akan dikendalikan oleh PBB, Bulan Sabit Merah dan agensi antarabangsa lain yang berkecuali.
  9. Pentadbiran Sementara Gaza: Gaza akan ditadbir oleh jawatankuasa teknokrat Palestin yang bebas politik, dengan pemantauan oleh badan antarabangsa “Board of Peace” yang dipengerusikan oleh Trump.
  10. Pelan Ekonomi Gaza oleh Panel Pakar: Panel pakar pembangunan bandar moden akan merangka pelan ekonomi untuk membangunkan Gaza secara menyeluruh.
  11. Zon Ekonomi Khas Gaza: Zon ekonomi khas akan diwujudkan dengan kadar tarif dan akses istimewa yang akan dirunding bersama negara peserta.
  12. Kebebasan Bergerak: Tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza. Mereka bebas untuk keluar dan kembali semula.
  13. Tiada Peranan Hamas Dalam Pemerintahan: Hamas dan mana-mana kumpulan bersenjata tidak akan terlibat dalam pentadbiran Gaza dalam apa jua bentuk.
  14. Pelucutan Senjata Gaza: Semua infrastruktur ketenteraan akan dimusnahkan dan tidak dibenarkan dibina semula, dengan pemantauan antarabangsa.
  15. Jaminan Serantau: Negara serantau akan menjamin pematuhan Hamas dan keselamatan Gaza yang baharu.
  16. Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF): ISF akan ditubuhkan untuk melatih pasukan polis Palestin dan membantu kawalan sempadan bersama Israel dan Mesir.
  17. Israel Tidak Akan Menduduki Gaza: Israel akan berundur secara berperingkat dan tidak akan menggabungkan Gaza ke wilayahnya.
  18. Bantuan Diteruskan Jika Hamas Tolak Pelan: Jika Hamas menolak pelan ini, bantuan akan tetap disalurkan ke kawasan Gaza yang telah diserahkan kepada ISF.
  19. Dialog Antara Agama: Proses dialog antara agama akan dimulakan untuk memupuk nilai toleransi dan hidup bersama secara aman.
  20. Laluan Ke Arah Negara Palestin: Jika pembangunan Gaza dan reformasi pihak berkuasa Palestin berjaya, pelan ini membuka jalan kepada penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin.





#Gaza #Amerika Syarikat #Donald Trump #20 pelan Palestin #Gencatan senjata Gaza