PEMBUKAAN semula sistem pembelajaran di sekolah memberi kebimbangan kepada orang ramai lebih-lebih lagi golongan ibu bapa.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa keputusan membenarkan anak-anak kembali ke sekolah itu suatu yang agak berisiko memandangkan pandemik COVID-19 belum berakhir dan tidak mengenal mangsa.

Apatah lagi golongan pelajar tersebut mungkin tidak terlalu peka terhadap keadaan sekeliling terutamanya dalam mematuhi amalan penting supaya mereka terlindung daripada virus berkenaan.

Bagaimanapun, arahan perintah berkurung yang dilaksanakan banyak negara di seluruh dunia mula menunjukkan sedikit kelonggaran. Aktiviti dalam sektor ekonomi dan kelaziman rutin harian mula kembali dilihat. Ini termasuk sektor pendidikan yang membolehkan para pelajar kembali ke sekolah.

Berikut merupakan negara yang sudah membenarkan sekolah untuk dibuka semula:


Vietnam

Pelajar sekolah di seluruh Vietnam kembali ke sekolah pada 4 Mei lalu selepas tiga bulan sekolah di negara itu ditutup untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Vietnam sebelum ini membuat keputusan menutup semua sekolah dan institusi pendidikan pada awal Februari, selepas kes pertama jangkitan COVID-19 dilaporkan di negara itu.

Sejak itu, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Pembukaan semula sekolah ini memerlukan setiap pelajar serta guru memakai penutup mulut dan hidung serta melakukan pemeriksaan suhu badan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan virus.

Vietnam merekodkan kes positif covid-19 tetapi tiada kes baharu dilaporkan untuk tempoh hampir tiga minggu.


China

Negara pertama yang merekod penyakit COVID-19, China kini telah menghantar murid kembali ke sekolah setelah sekian lama berjuang dalam menangani wabak itu.

Namun, pelbagai perubahan ataupun normal baharu yang telah diterapkan di sekolah itu bagi memastikan penjarakan sosial dapat berada dalam keadaan terkawal.

Ini termasuk memakai topeng muka, perkhidmatan pengangkutan sekolah yang bersesuaian dan laluan khas yang ditentukan ke bilik darjah.

Bukan itu sahaja, beberapa sekolah turut mengenakan pemeriksaan suhu badan sebelum membenarkan pelajar itu masuk ke sekolah.


Taiwan

Taiwan telah dianggap sebagai kisah kejayaan dalam kisah COVID-19 kerana negara itu hanya mencatatkan enam kematian dengan 439 jumlah kumulatif kes positif.

Oleh itu, sekolah di Taiwan berjaya dibuka kembali pada bulan Februari.


Jerman

Pembukaan kembali secara beransur-ansur telah dimulakan di Jerman pada minggu ini, sebaik negara itu mulai melonggarkan syarat perintah berkurung berikutan penurunan kes berbanding negara Eropah lain.

Sesi peperiksaan dan ulang kaji telah dibenarkan untuk diadakan di sekolah sejak 20 April, bermula di Saxony dan North Rhine-Westphalia. Peperiksaan sekolah menengah juga sudah berlangsung di Berlin dan Brandenburg.

Sama seperti China, Jerman telah menerapkan garis panduan penjarakan sosial di sekolah.


Sweden

Pendekatan negara Sweden dalam menangani pandemik COVID-19 telah dipersoalkan oleh banyak pihak sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai yang mana pihak kerajaan enggan menjalani perintah sekatan kerana yakin mampu untuk mencapai imuniti kelompok.

Anak-anak kecil di negara itu masih bersekolah, kerana bukti yang menunjukkan bahawa golongan muda ini bukan menjadi sumber penularan utama untuk COVID-19.


Denmark

Pelajar sekolah di Denmark telah diberi kebenaran memulakan pembelajaran di sekolah seperti biasa mulai 15 April, dan sekolah-sekolah dibiarkan untuk memutuskan bagaimana mereka ingin menyelesaikan tugas tersebut.

Beberapa sekolah memilih untuk mengajar anak-anak di luar rumah dengan musim separa panas di Eropah sambil mewajibkan semua pihak mencuci tangan setiap dua jam.

Sementara itu, sebilangan kecil iaitu kira-kira 10 peratus ibu bapa memilih untuk menjauhkan anak mereka dari sekolah.


Norway

Sekolah rendah dibuka semula pada 27 April, sementara taska dibuka seminggu sebelumnya iaitu pada 20 April.

Sesi pembelajaran di dalam kelas dihadkan untuk 15 orang maksimum, dengan kebanyakan kanak-kanak diasingkan dalam kumpulan yang jauh lebih kecil.

Cuci tangan dan meja secara berkala juga digalakkan.


Dalam isu berkaitan, di Malaysia, sekolah masih lagi ditutup meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sidilaksanakan pada 4 Mei lalu.

PKPB bermaksud sesi persekolahan masih belum boleh dilakukan di mana-mana tempat meliputi aktiviti sukan sekolah, perhimpunan dan kokurikulum sekolah, atau sebarang bentuk majlis membabitkan pelajar dan guru dalam satu kumpulan melebihi 10 orang.

BACA: COVID-19: Vietnam buka semula sesi persekolahan

BACA: 'Gaya baharu' ke sekolah demi jaga penjarakan sosial

BACA: COVID-19: UK dijangka benarkan sekolah beroperasi mulai 1 Jun