Ini apa anda perlu tahu tentang juruterbang pesawat Lion Air JT-610
Astro Awani
Oktober 29, 2018 07:00 MYT
Oktober 29, 2018 07:00 MYT
Pesawat Lion Air JT-610 yang terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta pada pagi Isnin, dikemudikan oleh juruterbang Kapten Bhavye Suneja.
Perkara itu juga disahkan oleh Pegawai Strategi Komunikasi Korporat Lion Air, Danang Mandala dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut informasi menerusi akaun Linkedin milik Bhavye Suneja, dia dilahirkan di New Delhi India.
Bhavye sudah berkhidmat bersama Lion Air selama tujuh tahun lapan bulan, bemrula Mac 2011.
Memetik laporan Kompas TV, Bhavye pernah menjalani latihan sebagai juruterbang Boeing 737 NG di Emirates selama empat bulan pada tahun 2010.
Juruterbang yang mengemudi pesawat Lion Air JT 610 membawa 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi itu mempunyai pengalaman mengendalikan penerbangan lebih daripada 6,000 jam.
Pembantu juruterbang pula, Harvino mempunyai pengalaman mengendali penerbangan lebih daripada 5,000 jam.
Bhavye mendapat kelulusan dari Ahlcon Public School di New Delhi, India dan melanjutkan pelajaran di pusat pendidikan penerbangan Bel Air.
Sementara itu, kerja-kerja menyelamat pesawat terhempas itu masih giat dijalankan.