Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Ini tiga perkara positif mengenai gencatan senjata Gaza - MyCARE

Irfan Faruqi 13/10/2025 | 13:03 MYT
Rakyat Palestin berjalan kembali ke utara selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas bermula. - REUTERS
KUALA LUMPUR: Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata walaupun genosid Gaza tidak dapat dipastikan akan berakhir secara muktamad, sekurang-kurang tiga perkara boleh diraikan hasil gencatan senjata yang dicapai antara Hamas-Israel.


Ringkasan AI
  • Gencatan senjata menghentikan genosid selama 733 hari yang mengorbankan ratusan nyawa setiap hari, termasuk 25 kanak-kanak.
  • Tiada pemindahan paksa besar-besaran seperti yang pernah dirancang Israel, walaupun sebelum ini 500,000 rakyat Palestin dipaksa keluar dari Utara Gaza.
  • Persetujuan pembebasan tahanan: warga Israel dalam tahanan Hamas dan kira-kira 2,000 warga Palestin yang dipenjara Israel, termasuk kanak-kanak.


“Pertama, terhentinya genosid yang berlaku sepanjang 733 hari ini, dengan antara 100 hingga 300 orang syahid, termasuk 25 kanak-kanak syahid setiap hari.

“Kedua, tidak berlaku pemindahan paksa yang telah diumumkan berkali-kali oleh Eyal Zamir (Ketua Pasukan Tentera Israel) dan Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) dalam operasi ketenteraan mereka.

Contohnya, mereka pernah paksa orang Palestin untuk keluar dari Utara Gaza. Kita lihat sekitar 500,000 telah berpindah secara paksa dari Utara Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.



Ketiga, menurut Megat Aiman Hakim, gencatan senjata ketika ini menghasilkan persetujuan untuk membebaskan warga Israel dalam tahanan Hamas, dan kira-kira 2,000 warga Palestin yang dipenjarakan oleh Israel.

Pada Isnin, 20 tahanan warga Israel telah dibebaskan oleh Hamas. Manakala, antara warga Palestin yang dibebaskan termasuklah 22 kanak-kanak dan 360 jenazah.

Dalam pada itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, bagi pertubuhan kemanusiaan, perkara yang diberikan perhatian adalah mengenai kelancaran proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Ketika ini, kita masih memerhati dengan rapat proses pengunduran tentera Israel, dan pada masa yang sama, memerhati kemasukan barangan bantuan kemanusiaan; makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas, untuk rakyat Gaza.

“Kita memerhatikan perincian yang dijanjikan dalam pelan damai ini, termasuk 500 hingga 600 trak bantuan kemanusiaan untuk menampung kebuluran di Gaza,” ujarnya.

Pada Isnin juga, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tiba di Israel untuk menyampaikan ucapan di parlimen Israel, dan menghadiri Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir.

Sidang kemuncak yang dipengerusikan secara bersama oleh Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi itu turut dihadiri lebih 20 pemimpin dunia lain, termasuk United Kingdom, Indonesia, Jordan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Turkiye, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Greece, Cyprus, Jepun, Kanada, Brazil Dan wakil Kesatuan Eropah (EU).




#Agenda Awani #Amerika Syarikat #Gaza #Hamas #Palestin #gencatan senjata