Skip to main content

Dunia

Inisiatif 'Water Forward' Bank Dunia tangani krisis air global menjelang 2030

41614749086_Water.jpg
Ia bertujuan mengukuhkan pengurusan sumber air bagi menangani ancaman perubahan iklim seperti kemarau dan banjir, selain mengurangkan kesan kekurangan bekalan air yang ketika ini menjejaskan kira-kira empat bilion penduduk dunia. -Gambar hiasan

WASHINGTON: Bank Dunia melancarkan inisiatif global dikenali sebagai Water Forward bagi menyediakan akses kepada air selamat kepada satu bilion penduduk dunia menjelang 2030.

Inisiatif yang diumumkan sempena Mesyuarat Musim Bunga 2026 itu bertujuan mengukuhkan pengurusan sumber air bagi menangani ancaman perubahan iklim seperti kemarau dan banjir, selain mengurangkan kesan kekurangan bekalan air yang ketika ini menjejaskan kira-kira empat bilion penduduk dunia.

Advertisement

Presiden Bank Dunia, Ajay Banga, berkata keselamatan air merupakan asas penting kepada kestabilan ekonomi global kerana ia mempengaruhi tahap kesihatan tenaga kerja serta kelangsungan operasi perniagaan.

Menerusi pelan strategik berkenaan, Bank Dunia menyasarkan untuk membantu 400 juta orang secara langsung melalui pembiayaan dan khidmat nasihat teknikal, manakala baki 600 juta orang lagi akan dicapai menerusi kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa.

Sebanyak 14 negara dari wilayah Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika telah menyatakan komitmen secara sukarela untuk memperkukuh sektor air masing-masing di bawah pelaksanaan inisiatif itu.

Program tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam projek pengurangan kebocoran air di kawasan bandar, pemodenan sistem pengairan, kitar semula air sisa, serta penggunaan data raya bagi menyokong perancangan infrastruktur yang lebih cekap dan berdaya tahan.

Bank Dunia turut bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan antarabangsa lain, termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Pelaburan Eropah (EIB) dan New Development Bank (NDB) bagi memastikan matlamat inisiatif itu dapat dicapai.

Langkah berkenaan dilihat kritikal dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam industri yang bergantung kepada bekalan air yang stabil dan mampan.

Must Watch Video