Insiden Capitol: Setiausaha Pengangkutan AS Elaine Chao letak jawatan

Bernama
Januari 8, 2021 03:17 MYT
Elaine Chao dan suaminya, Senator Mitch McConnell, ketika majlis mengangkat sumpah di Dewan Senat, Capitol, Washington, 3 Jan, 2021. (Foto AP)
WASHINGTON: Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS) Elaine Chao pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya sebagai membantah insiden kekacauan dan keganasan di Capitol, lapor Agensi Berita Xinhua.
Beliau anggota kabinet pertama pentadbiran Presiden Donald Trump yang melepaskan jawatan susulan insiden pada Rabu itu.
Peletakan jawatannya berkuat kuasa pada Isnin.
"Semalam, negara kita mengalami peristiwa yang mencetuskan trauma dan tidak dapat dielakkan apabila penyokong Presiden menyerbu Capitol. Saya yakin ramai yang mengalami perkara sama, ia sangat mengganggu saya," katanya.
Chao, 67, telah berkhidmat sejak 2017.
-- BERNAMA
#kekacauan #keganasan #Capitol #Elaine Chao #AS #letak jawatan #Setiausaha Pengangkutan #Donald Trump #Amerika Syarikat #kabinet