PRAGUE: Polis Czech mengenal pasti kesemua 14 mangsa serangan lelaki bersenjata di sebuah kampus universiti di Prague pada Khamis, kata ketua polis Petr Matejcek.

Beliau berkata bahawa 14 orang terbunuh manakala 25 lagi cedera dalam serangan di koridor dan kelas di Fakulti Sastera di Universiti Charles, lapor Agensi Anadolu.

Suspek kemudian menembak dirinya sendiri selepas dikepung pihak polis dari semua arah, kata Matejcek dalam sidang media pada Jumaat.

Bukti menunjukkan bahawa lelaki bersenjata itu adalah pelaku yang sama dalam kes pembunuhan di hutan Klanovicky berhampiran Prague seminggu lalu di mana seorang lelaki dan anak perempuannya dibunuh.

"Namun kami sedang menunggu bukti kukuh bagi mengesahkannya. Sehingga itu, kami akan terus menyiasat jenayah di hutan berkenaan. Kami tidak boleh mengesahkannya 100 peratus buat masa ini," katanya.

Media tempatan mengenal pasti suspek sebagai David Kozak, 24 yang berasal dari perkampungan Hostoun di wilayah Kladno.

Lelaki itu merupakan seorang pelajar di fakulti terbabit dan memiliki senjata api secara sah dan tidak mempunyai rekod jenayah, menurut media kerajaan.

-- BERNAMA