[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Iran, AS akhiri rundingan nuklear 'konstruktif' di Oman, setuju untuk bertemu semula

Agensi 12/04/2025 | 22:45 MYT
Utusan Khas Presiden Trump, Steve Witkoff (kanan) mengetuai delegasi Amerika Syarikat dalam rundingan itu, manakala delegasi Iran diketuai oleh Menteri Luar, Abbas Araghchi. - Gambar AP
MUSCAT: Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah menyelesaikan pusingan pertama rundingan di Oman berkenaan program nuklear Tehran - pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sejak tahun 2018.
Kedua-dua negara menyifatkan pertemuan itu sebagai "konstruktif" dan mengesahkan pusingan kedua rundingan akan diadakan minggu depan - dengan AS memuji "komunikasi langsung" sebagai kunci untuk mencapai perjanjian yang berpotensi.
Presiden Donald Trump telah menarik keluar AS daripada perjanjian nuklear terdahulu antara Iran dan kuasa dunia pada 2018 dan berulang kali menyatakan hasrat untuk merundingkan perjanjian yang "lebih baik."
Rundingan ini dilihat sebagai langkah pertama yang penting untuk menentukan sama ada perjanjian baharu dapat dicapai.
Pertemuan pertama yang berlangsung selama dua jam setengah itu dikatakan ringkas, namun penuh rasa hormat - dan telah membuka jalan untuk pusingan kedua.
Itulah hasil terbaik yang boleh dicapai apabila pegawai Iran dan AS duduk semeja di Muscat, ibu negara Oman - dengan diplomat tertinggi negara itu bertindak sebagai perantara dalam rundingan yang kebanyakannya berlangsung secara tidak langsung.
Ia merupakan rundingan paling penting sejak AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 ketika penggal pertama Trump.
Ketua perunding Iran, Menteri Luar, Abbas Araghchi, memberikan ulasan yang positif.
“Pada pandangan saya, sebagai pertemuan pertama, ia adalah mesyuarat yang konstruktif yang berlangsung dalam suasana yang sangat damai dan penuh rasa hormat kerana tiada bahasa yang tidak wajar digunakan,” katanya kepada televisyen nasional Iran.
Nada diplomatik beliau menunjukkan bahawa delegasi AS yang diketuai Utusan Khas Trump, Steve Witkoff tidak mengulangi ancaman Presiden yang mengatakan Iran akan berdepan "bahaya besar" sekiranya dialog ini gagal.
Trump telah beberapa kali mengancam tindakan ketenteraan.
Mesyuarat itu berlangsung dengan delegasi kedua-dua negara berada di bilik berasingan dan mesej disampaikan melalui Menteri Luar Oman, Badr bin Hamad al-Busaidi.
Witkoff sebelum ini menyatakan hanya akan bertemu secara bersemuka.
Namun, beliau dan Araghchi dilaporkan berbual beberapa minit di hadapan Busaidi - bukan dialog langsung sepenuhnya seperti dijangka, tetapi satu permulaan kecil yang mungkin signifikan.
Iran yang berdepan tekanan daripada golongan konservatif dalam negara menegaskan, interaksi bersemuka itu amat terhad, tanpa sebarang gambar diambil.
Dalam kenyataan selepas rundingan itu, White House berkata, perbincangan tersebut "sangat positif dan konstruktif" sambil menyatakan Witkoff telah menegaskan beliau diberi mandat untuk menyelesaikan "perbezaan melalui dialog dan diplomasi, sekiranya ia boleh dicapai."
"Isu-isu ini sangat rumit dan komunikasi langsung utusan khas Witkoff hari ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk mencapai hasil yang saling menguntungkan," tambah kenyataan itu.
Araghchi sebelum ini menyatakan, negaranya mahukan "perjanjian yang adil."
Selepas rundingan tamat, beliau berkata, perbincangan minggu depan mungkin tidak diadakan di Oman, tetapi tetap dimediasi oleh negara Timur Tengah itu.
White House memaklumkan, rundingan seterusnya akan berlangsung pada Sabtu depan.
“Baik kami mahupun pihak satu lagi tidak mahukan rundingan yang sia-sia, perbincangan untuk perbincangan semata-mata, membuang masa atau rundingan yang berlarutan tanpa penghujung,” kata Araghchi kepada televisyen kebangsaan Iran.
Isu paling penting yang sedang dibincangkan ialah jenis perjanjian yang sanggup diterima oleh kedua-dua pihak.
Trump telah menghantar sepucuk surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran melalui Emiriah Arab Bersatu bulan lalu menyatakan beliau mahu satu perjanjian bagi menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear dan bagi mengelakkan serangan ketenteraan oleh AS atau Israel.
Iran berharap dapat mencapai perjanjian untuk mengehadkan, tetapi tidak membatalkan sepenuhnya program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan.
Satu sumber yang tidak dinamakan di Oman memberitahu agensi berita Reuters, rundingan itu juga bertujuan meredakan ketegangan serantau dan mencapai pertukaran tahanan.
Trump mendedahkan, rundingan ini akan diadakan semasa lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke White House pada Isnin lalu.
Netanyahu berkata pada Selasa, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Iran "tidak akan memiliki senjata nuklear."
Netanyahu menyeru agar wujud "perjanjian gaya Libya" merujuk kepada persetujuan Libya untuk membongkar keseluruhan program senjata mereka pada tahun 2003.
Cadangan itu dianggap sama sekali tidak boleh diterima oleh Iran.
Iran menegaskan, semua aktiviti nuklearnya adalah untuk tujuan aman sepenuhnya dan ia tidak akan membangunkan atau memiliki senjata nuklear.
Pegawai Iran turut menegaskan, rundingan ini hanya tertumpu pada program nuklear mereka dan tidak merangkumi keupayaan pertahanan yang lebih luas seperti program peluru berpandu balistik mereka.
Sebelum rundingan bermula, Trump berkata. beliau mahu Iran menjadi “negara yang hebat, bahagia dan makmur - tetapi mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear.”
Trump juga telah memberi amaran bahawa AS akan menggunakan kekuatan tentera sekiranya tiada perjanjian dicapai, manakala Iran pula berulang kali menyatakan ia tidak akan berunding di bawah tekanan.
Namun, proses ini sedang berlangsung dalam suasana tekanan yang sangat tinggi.
Walaupun rundingan pertama ini sedang disusun, AS turut menggerakkan lebih banyak kapal perang dan pesawat pengebom stealth ke rantau itu serta mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Iran.
Presiden AS berkata kepada wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, ia akan menjadi “hari yang sangat buruk untuk Iran” sekiranya rundingan ini gagal.
Iran bertegas, aktivitinya adalah aman, namun sejak AS menarik diri daripada perjanjian 2015 - yang akan tamat tempoh hujung tahun ini - Iran semakin kerap melanggar had yang ditetapkan dalam perjanjian terdahulu sebagai tindakan balas terhadap sekatan berat yang dikenakan semula oleh AS tujuh tahun lalu.
Bawah perjanjian 2015, Iran bersetuju untuk hanya memperkaya uranium sehingga tahap kemurnian 3.67 peratus untuk tempoh 15 tahun.
Namun pada Februari lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan Tehran telah mengumpulkan uranium yang diperkaya hingga 60 persatus dan boleh dengan pantas meningkatkannya ke tahap 90 peratus, iaitu gred senjata.
Perjanjian nuklear 2015 mengambil masa hampir dua tahun rundingan intensif.
Kini, dengan program nuklear Iran yang jauh lebih maju dan kompleks serta situasi serantau yang semakin tegang, usaha baharu ini dilihat lebih mencabar. - Agensi
#Iran-Amerika #rundingan nuklear #program nuklear Tehran #Donald Trump #abbas araghchi #Steve Witkoff