DUNIA

Iran akui kerosakan serius di tapak nuklear Fordow akibat serangan AS

Astro Awani 02/07/2025 | 09:31 MYT
Abbas Araghchi mengesahkan kemudahan pengayaan uranium Fordow mengalami kerosakan serius akibat serangan udara oleh Amerika Syarikat. -Gambar fail/AP
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan kemudahan pengayaan uranium Fordow telah mengalami kerosakan serius akibat serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu.

Ringkasan AI
  • Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan kemudahan pengayaan uranium Fordow mengalami kerosakan serius akibat serangan udara oleh Amerika Syarikat.
  • Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada Operasi Midnight Hammer yang turut menyasarkan Natanz dan Isfahan, menggunakan bom penembus kubu GBU-57 oleh pesawat B-2.
  • Walaupun Presiden AS mendakwa program nuklear Iran telah -dihapuskan sepenuhnya-, tahap sebenar kemusnahan masih belum disahkan secara bebas dan terus dipantau oleh komuniti antarabangsa.

Dalam wawancara bersama CBS News yang disiarkan pada Selasa, Abbas Araghchi berkata tahap sebenar kemusnahan di kompleks bawah tanah yang terletak di selatan Tehran itu masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Siasatan penuh masih dijalankan, tetapi apa yang jelas ialah serangan ini menyebabkan impak yang besar ke atas salah satu tapak nuklear paling sensitif kami,
“Kami belum dapat menentukan tahap sebenar kemusnahan, tetapi laporan awal sangat membimbangkan,” kata Abbas Araghchi.
Beliau memaklumkan bahawa Pertubuhan Tenaga Atom Iran sedang menjalankan penilaian terperinci dan akan membentangkan laporan kepada kerajaan sebaik sahaja pemeriksaan di tapak selesai.
Kenyataan ini merupakan pengakuan awam pertama oleh Tehran mengenai tahap kerosakan besar di salah satu tapak nuklear paling sensitif negara itu sejak serangan dilancarkan.
Menurut laporan, serangan tersebut adalah sebahagian daripada Operasi Midnight Hammer yang turut menyasarkan kemudahan di Natanz dan Isfahan, melibatkan penggunaan bom penembus kubu GBU-57 oleh pesawat pengebom B-2 Amerika Syarikat.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa operasi itu telah “menghapuskan sepenuhnya” program nuklear Iran.
Namun, laporan risikan yang dipetik oleh Washington Post menunjukkan komunikasi dalaman Iran pada awalnya cuba meremehkan tahap kerosakan yang berlaku.
Setakat ini, tiada pengesahan bebas dikeluarkan mengenai tahap sebenar kemusnahan di Fordow, dan komuniti antarabangsa terus memantau perkembangan ini dengan penuh perhatian.
#serangan udara #abbas araghchi #kemudahan pengayaan uranium Fordow #kerosakan serius #Operasi Midnight Hammer