Skip to main content

Dunia

Iran akui langkah penting telah dipersetujui untuk rundingan perjanjian akhir

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Esmaeil Baghaei berkata, secara umumnya, langkah penting telah dipersetujui untuk membuka jalan bagi permulaan rundingan berkaitan perjanjian akhir. - Gambar/ Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Iran berkata pada Isnin, "langkah penting" telah dipersetujui semasa dialog di Switzerland untuk membuka jalan kepada rundingan mengenai perjanjian terakhir dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan.

Bercakap selepas perbincangan intensif empat pihak di Burgenstock, Switzerland, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata: “Secara umumnya, langkah penting telah dipersetujui untuk membuka jalan bagi permulaan rundingan berkaitan perjanjian akhir,” menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

"Kami berharap dalam pelaksanaan, kami akan menyaksikan kesungguhan daripada pihak satu lagi (Amerika Syarikat)," katanya.

Baghaei berkata satu hasil utama rundingan itu ialah persetujuan untuk mewujudkan mekanisme pemantauan baharu, yang disifatkan sebagai "sel penyahkonflik," dengan penyertaan pengantara untuk mengawasi penerusan gencatan senjata dan menghentikan permusuhan, khususnya di Lubnan.

Beliau menambah kedua-dua pihak juga saling bertukar mesej penting mengenai peruntukan berkaitan pengeluaran lesen yang diperlukan untuk penjualan minyak Iran dan pelepasan aset beku atau terhad Iran, mengatakan kemajuan telah dibuat dalam kedua-dua isu tersebut.

Baghaei menambah perbincangan menangani laluan selamat untuk kapal melalui Selat Hormuz, dengan pihak terlibat bersetuju mewujudkan mekanisme yang bertujuan memastikan keselamatan maritim di laluan air strategik itu.

"Pasukan teknikal akan meneruskan kerja mereka mengenai isu-isu yang saya nyatakan dan isu lain yang perlu untuk pelaksanaan berkesan memorandum persefahaman ini," katanya.

Secara berasingan, dalam satu kenyataan bersama, pengantara Qatar dan Pakistan mengumumkan kemajuan ketara berikutan penutupan pusingan pertama rundingan peringkat tinggi di Sidang Kemuncak Tasik Lucerne di Switzerland.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan pelan hala tuju ke arah mencapai perjanjian damai terakhir dalam 60 hari.

Rundingan diadakan sebagai sebahagian daripada memorandum yang ditandatangani minggu lepas bagi menamatkan perang AS-Israel yang dilancarkan pada 28 Feb.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement