DUNIA

Iran bakal haramkan Starlink, hukuman penjara dan sebat kepada pengguna

Bernama 29/06/2025 | 22:40 MYT
Starlink, perkhidmatan Internet satelit yang dikendalikan SpaceX milik Elon Musk (kanan), merupakan satu-satunya alat yang boleh digunakan rakyat Iran semasa gangguan Internet yang dikenakan pihak berkuasa. REUTERS
TEHRAN: Parlimen Iran telah meluluskan undang-undang untuk mengharamkan penggunaan Starlink, perkhidmatan Internet satelit yang dikendalikan oleh SpaceX milik Elon Musk, menurut laporan agensi berita Jerman dpa yang memetik ISNA pada Ahad.
Di bawah undang-undang itu, pelanggaran boleh dihukum dengan denda, sebatan atau penjara sehingga dua tahun.
Tidak jelas sejauh mana penggunaan Starlink di Iran. Namun, kos perkhidmatan itu berkemungkinan di luar kemampuan kebanyakan isi rumah.
Starlink merupakan antara satu-satunya alat yang boleh digunakan rakyat Iran semasa gangguan Internet yang dikenakan pihak berkuasa, seperti yang berlaku baru-baru ini semasa perang dengan Israel.
Parlimen Iran turut meluluskan langkah untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan pengintipan. Di bawah undang-undang baharu itu, "kerjasama operasi" dengan entiti asing boleh dihukum mati. Istilah berkenaan tidak dijelaskan dalam undang-undang, namun pemerhati melihatnya sebagai satu lagi usaha menakut-nakutkan penentang dan pengkritik rejim.
Kedua-dua keputusan itu masih memerlukan pengesahan daripada Majlis Penjaga, badan pengawasan perlembagaan yang berkuasa. Proses pengesahan ini biasanya hanya sebagai formaliti.
-- BERNAMA
#Starlink #Parlimen Iran #haram #Internet #konflik Israel-Iran