TEHRAN: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan negara itu tidak mahu perang berpanjangan atau rundingan tanpa penghujung dengan Amerika Syarikat (AS), namun akan terus berjuang sehingga Washington menerima tuntutan Tehran.
Menurut Ghalibaf, Iran kekal komited untuk mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya di tengah-tengah konflik yang berterusan dengan AS.
Beliau berkata Tehran tidak berminat untuk memanjangkan peperangan atau terlibat dalam proses diplomatik yang tidak menghasilkan sebarang keputusan, tetapi akan meneruskan perjuangan sehingga tuntutannya dipenuhi.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dan AS terus memuncak susulan konflik yang berlarutan di rantau Asia Barat serta kegagalan beberapa usaha terdahulu untuk mencapai penyelesaian yang berkekalan.
Iran sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa sebarang penyelesaian perlu mengambil kira syarat dan kepentingannya, manakala Washington mengekalkan tekanan terhadap Tehran melalui pelbagai langkah diplomatik dan sekatan.
Ketegangan yang berterusan itu turut menjejaskan keselamatan serantau, termasuk laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz dan pasaran tenaga global.