DUNIA

Iran buka semula ruang udara kepada penerbangan domestik, asing, transit

Bernama 04/07/2025 | 09:48 MYT
Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain. - Gambar fail
TEHRAN: Iran pada Khamis membuka semula ruang udaranya kepada penerbangan domestik, asing dan transit antarabangsa, menurut Kementerian Jalan Raya dan Pembangunan Bandar, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan Sabah, dengan isu Ambalat masih dalam rundingan diplomatik melalui mekanisme sedia ada.
  • Malaysia dan Indonesia bersetuju meneroka pendekatan 'menang-menang' melalui Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) untuk membangunkan ekonomi kawasan sempadan sambil menyelesaikan isu teknikal sempadan maritim.
  • Pemimpin pembangkang menuntut penjelasan terbuka daripada kerajaan, khususnya berkenaan butiran persetujuan JDA yang melibatkan kawasan perairan yang masih dipertikaikan.


Keputusan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Pertubuhan Penerbangan Awam Iran serta penilaian keselamatan dan sekuriti yang terperinci berdasarkan keadaan semasa negara itu, kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Kenyataan itu memaklumkan penerbangan telah disambung semula ke dan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di ibu negara Tehran, serta lapangan terbang di wilayah utara, timur, barat dan selatan negara, kecuali di Isfahan dan Tabriz yang terletak di wilayah tengah dan barat laut Iran.

Menurut kenyataan itu, lapangan terbang di Tehran serta wilayah utara, barat dan selatan kini mengendalikan penerbangan domestik dan asing dari 5.00 pagi hingga 6.00 petang waktu tempatan (1.30 pagi hingga 2.30 petang GMT).

Ia turut memaklumkan ruang udara di bahagian timur dibuka kepada penerbangan domestik, asing dan transit antarabangsa sepanjang masa, manakala ruang udara di wilayah tengah dan barat dibuka kepada penerbangan antarabangsa yang melalui kawasan itu.

Kementerian itu memberi jaminan bahawa lapangan terbang di Isfahan dan Tabriz akan beroperasi semula sebaik sahaja infrastruktur dapat disediakan.

Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain. Selepas 12 hari konflik udara, kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata pada 24 Jun.

--BERNAMA-XINHUA



#konflik Israel-Iran #buka semula ruang udara #serangan udara #Pertubuhan Penerbangan Awam Iran