DUNIA
Iran buka semula sebahagian ruang udara susulan gencatan senjata dengan Israel
Iran pada Khamis mengumumkan pembukaan semula sebahagian ruang udaranya selepas mencapai gencatan senjata dengan Israel. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Iran pada Khamis mengumumkan pembukaan semula sebahagian ruang udaranya selepas mencapai gencatan senjata dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Ruang udara di bahagian timur negara dibuka semula untuk penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk penerbangan yang melalui ruang udara Iran," kata jurucakap Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar, Majid Akhavan, menerusi platform X.
Akhavan bagaimanapun berkata penerbangan dari Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, yang terletak 40 kilometer di selatan ibu negara Iran, masih belum dibenarkan beroperasi.
Pengumuman itu dibuat selepas satu gencatan senjata yang dimediasi oleh Amerika Syarikat dengan Israel menamatkan 12 hari pertempuran sengit antara kedua-dua musuh ketat itu, yang tercetus akibat serangan Israel terhadap sasaran nuklear dan ketenteraan Iran pada 13 Jun.
-- BERNAMA