TEHRAN: Iran memberi amaran tidak akan membenarkan kapal perang Amerika Syarikat (AS) menghampiri perairannya ketika Presiden Donald Trump dilaporkan masih mempertimbangkan sama ada melancarkan serangan baharu atau meneruskan tekanan ketenteraan dan ekonomi ke atas republik Islam itu.
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi berkata, Tentera Laut AS tidak lagi mampu beroperasi berhampiran perairan Iran kerana negara itu mempunyai keupayaan untuk menyasarkan mana-mana kapal yang berada di rantau berkenaan.
Menurut beliau, impian Washington untuk kembali menguasai Teluk Parsi hanyalah angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan.
Abdollahi turut mempersoalkan kenyataan AS yang mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah musnah sebahagian besarnya sepanjang konflik berkenaan.
Katanya, dakwaan itu bercanggah dengan tindakan Washington yang masih enggan menghantar kapal induk dan aset ketenteraan utamanya lebih hampir ke wilayah Iran.
Beliau menegaskan, Iran bertekad untuk terus memberikan tekanan kepada AS dan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut yang dilancarkan ke atas negara itu pada 28 Februari lalu, yang mencetuskan perang berpanjangan dan menggugat kestabilan rantau Timur Tengah.
Ketegangan meningkat di Selat Hormuz
Ketegangan turut berlanjutan di Selat Hormuz apabila beberapa kapal komersial dilaporkan menjadi sasaran serangan dalam laluan perkapalan penting dunia itu.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa, tujuh kapal tangki minyak diserang atau terkena periuk api dalam tempoh beberapa hari lalu, manakala dua kapal tangki gergasi turut didakwa terkena letupan periuk api.
Situasi itu, ditambah kebimbangan mengenai kemungkinan tercetus semula peperangan yang lebih besar, menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak ke sekitar AS$117 setong, paras tertinggi sejak April lalu.
IRGC turut memaklumkan doktrin ketenteraan Iran kini lebih agresif berbanding sebelum ini, manakala Washington dilaporkan telah mengarahkan sebahagian kakitangan diplomatiknya meninggalkan Arab Saudi dan beberapa negara serantau lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Konflik serantau terus merebak
Di Yaman, kumpulan Houthi yang disokong Iran dilaporkan meneruskan serangan terhadap Arab Saudi, termasuk menyasarkan Riyadh serta beberapa kemudahan strategik lain sejak kebelakangan ini.
Sebagai tindak balas, tentera Arab Saudi meningkatkan serangan udara ke atas beberapa wilayah yang dikuasai Houthi.
Di selatan Lubnan pula, serangan udara Israel dan bedilan artileri dilaporkan berterusan, sekali gus mengukuhkan kebimbangan bahawa konflik Iran-AS-Israel boleh merebak ke lebih banyak wilayah di Asia Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan sekatan keselamatan diperketatkan di Tebing Barat yang diduduki selepas dua anggota tenteranya terbunuh dalam serangan di Hebron.
Netanyahu juga terus menyuarakan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan Iran, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam media Iran bahawa Tehran telah mengaktifkan strategi tindak balas menyeluruh sekiranya tokoh kanan negara itu menjadi sasaran pembunuhan sekali lagi.
IRGC turut memberi amaran bahawa kabel komunikasi dan internet dasar laut boleh menjadi sasaran sekiranya infrastruktur awam Iran terus diserang.
Rundingan damai masih buntu
Dalam usaha mencari jalan keluar diplomatik, beberapa kuasa serantau dan Eropah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Istanbul pada Jumaat.
Pertemuan itu melibatkan Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Mesir bersama United Kingdom, Perancis, Jerman serta Itali, namun tidak disertai AS mahupun Iran.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, sebarang serangan baharu terhadap Iran hanya akan meluaskan peperangan dan memburukkan lagi ketidakstabilan serantau.
Beliau menegaskan, campur tangan ketenteraan bukan penyelesaian kepada konflik yang sedang berlaku.
Dalam kenyataan bersama, empat negara serantau turut menegaskan bahawa pendudukan Israel merupakan punca utama ketidakstabilan di Timur Tengah dan menyeru penyelesaian melalui rundingan.
Mereka juga menuntut kebebasan pelayaran di Selat Hormuz serta menggesa semua pihak menghentikan serangan terhadap orang awam dan kapal perdagangan.
Sementara itu, media-media utama Iran memberi tumpuan kepada petanda bahawa rantau itu semakin menghampiri satu lagi fasa peperangan.
Akhbar konservatif Vatan-e Emrooz menyifatkan lonjakan harga minyak sebagai bukti kegagalan dasar Trump, manakala akhbar reformis Etemad melaporkan bahawa "detik penentuan" untuk satu lagi pusingan konflik berskala besar mungkin semakin hampir.
Seorang penganalisis dasar luar yang berpangkalan di Tehran, Reza Nasri berkata, Iran kini berpendirian bahawa ia tidak lagi akan berunding ketika berada di bawah serangan atau tekanan ketenteraan.
Menurutnya, Tehran berasakan sudah tiba masanya untuk menamatkan kitaran konflik yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu dan akan menggunakan segala cara yang dianggap perlu bagi mempertahankan kepentingannya. - Agensi