TEHRAN: Iran mendakwa Amerika Syarikat (AS) melanggar Memorandum Persefahaman Islamabad selepas membatalkan penggantungan sementara sekatan ke atas eksport minyak negara itu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X pada Selasa, Kementerian Luar Iran menyifatkan tindakan Washington itu sebagai pencabulan jelas terhadap Perenggan 10 Memorandum Persefahaman Islamabad.
Menurut kementerian berkenaan, langkah AS membatalkan penggantungan sekatan hanya beberapa hari selepas memorandum itu dimeterai menunjukkan pentadbiran Washington tidak komited untuk mematuhi perjanjian yang dipersetujui.
Tehran turut mendakwa sejak memorandum itu ditandatangani, AS telah melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan semangat persefahaman tersebut.
Kementerian Luar Iran menegaskan negara itu telah melaksanakan komitmennya dengan niat baik dan akan terus mempertahankan kepentingan serta keselamatan negara.
Dalam kenyataan sama, Iran memberi amaran akan mengambil tindakan yang difikirkan perlu bagi melindungi kepentingan nasional susulan tindakan yang didakwa melanggar perjanjian berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika ketegangan antara Tehran dan Washington kembali memuncak susulan perkembangan berkaitan sekatan serta isu keselamatan di rantau Asia Barat.