DUNIA
Iran dakwa laporan nuklear IAEA ‘berat sebelah’, justifikasi Israel lancar serangan
Esmaeil Baghaei mendakwa laporan berat sebelah agensi itu mengenai program nuklear Iran telah dijadikan alasan untuk rejim zionis melancarkan serangan ketenteraan. -Gambar fail/mfa.gov.ir
TEHRAN: Kementerian Luar Iran menuduh Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, dan organisasinya bersekongkol dalam konflik semasa dengan Israel.
Ringkasan AI
- Kementerian Luar Iran menuduh Ketua IAEA, Rafael Grossi, dan agensinya bersekongkol dengan Israel dalam konflik semasa, dengan mendakwa laporan berat sebelah mengenai program nuklear Iran dijadikan alasan untuk serangan ketenteraan.
- Iran menyatakan resolusi yang mendakwa ketidakpatuhan terhadap perjanjian nuklear dimanipulasi oleh negara Barat (E3/AS), dan digunakan oleh Israel untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, menyebabkan kematian ratusan termasuk pegawai dan saintis.
- Iran menuntut pertanggungjawaban antarabangsa atas naratif yang didakwa menyesatkan dan menyifatkan tindakan itu sebagai perang pencerobohan yang tidak sah serta pengkhianatan terhadap rejim non-proliferasi oleh IAEA.
Jurucakap kementerian, Esmaeil Baghaei mendakwa laporan berat sebelah agensi itu mengenai program nuklear Iran telah dijadikan alasan untuk rejim zionis melancarkan serangan ketenteraan.
“Laporan itu telah dimanipulasi oleh E3/AS (Perancis, Jerman, UK dan Amerika Syarikat) untuk menghasilkan resolusi yang mendakwa Iran tidak mematuhi perjanjian, tanpa asas kukuh,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Esmaeil berkata kenyataan Grossi bahawa IAEA tidak mempunyai bukti kukuh bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear sudah terlambat dan tidak mencerminkan realiti laporan terdahulu yang menurutnya berat sebelah.
Beliau menambah bahawa resolusi tersebut kemudiannya digunakan sebagai alasan terakhir oleh Israel untuk melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai perang pencerobohan yang tidak sah dan menuduh Grossi mengkhianati rejim non-proliferasi serta menjadikan IAEA rakan subahat dalam perang yang tidak adil ini.
Beliau turut mempersoalkan jumlah nyawa rakyat Iran yang terkorban akibat konflik tersebut dan menuntut pertanggungjawaban antarabangsa terhadap naratif yang didakwanya menyesatkan.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan serangan udara besar-besaran oleh Israel ke atas beberapa kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran sejak minggu lalu, yang telah mengorbankan ratusan orang termasuk pegawai kanan tentera dan saintis nuklear.