Iran didakwa mahu berunding, angka korban protes cecah 599 – Trump

Seorang penunjuk perasaan memegang gambar Mohammad Reza Pahlavi, sementara bendera Iran yang dipangkah dibakar di luar Kedutaan Iran ketika perhimpunan menyokong protes nasional di Iran, di London, Britain, pada Isnin. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, Iran mahu berunding dengan Washington selepas beliau mengeluarkan ancaman untuk menyerang republik Islam itu susulan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 599 orang.
Kenyataan Trump dibuat selepas Menteri Luar Oman – yang sering menjadi pengantara antara Washington dan Tehran – mengunjungi Iran hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, Iran tidak memberikan reaksi langsung terhadap dakwaan tersebut.
Masih belum jelas apa yang boleh dijanjikan oleh Tehran, terutama apabila Trump menetapkan syarat ketat berkaitan program nuklear dan arsenal peluru berpandu balistik Iran, yang disifatkan penting untuk pertahanan negara itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi ketika berucap kepada diplomat asing di Tehran menegaskan, keadaan kini “berada di bawah kawalan sepenuhnya” sambil menuding jari kepada Israel dan AS sebagai dalang kekacauan, tanpa mengemukakan bukti.
“Itulah sebabnya demonstrasi menjadi ganas dan berdarah – untuk memberi alasan kepada Presiden AS untuk campur tangan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan Al Jazeera.
Namun, Araghchi menegaskan Iran “terbuka kepada diplomasi.”
Jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baghaei pula memaklumkan, saluran komunikasi dengan AS masih wujud, tetapi rundingan mesti “berasaskan penerimaan kepentingan bersama, bukan satu hala atau bersifat paksaan.”
Sementara itu, ribuan penyokong kerajaan membanjiri jalan raya pada Isnin sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan teokrasi Iran, selepas beberapa hari protes mencabar kedudukan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei yang berusia 86 tahun.
Televisyen negara menyiarkan laungan “Mati kepada Amerika!” dan “Mati kepada Israel!” daripada puluhan ribu peserta perhimpunan.
Peguam Negara Iran turut memberi amaran bahawa mereka yang menyertai protes akan dianggap “musuh Tuhan”, satu tuduhan yang membawa hukuman mati.
Jurucakap White House Karoline Leavitt berkata, retorik awam Iran berbeza dengan mesej peribadi yang diterima pentadbiran AS sejak beberapa hari lalu.
Trump mengakui, pihaknya sedang menilai pelbagai pilihan terhadap Iran, termasuk serangan siber dan serangan langsung oleh AS atau Israel.
“Tentera sedang menelitinya, dan kami melihat beberapa pilihan yang sangat kuat,” kata Trump kepada wartawan.
Angka korban dan penahanan meningkat
Menurut Human Rights Activists News Agency yang berpangkalan di AS, sekurang-kurangnya 599 orang terkorban dalam protes yang bermula 28 Disember, termasuk 510 penunjuk perasaan dan 89 anggota keselamatan. Lebih 10,600 orang turut ditahan.
Protes tercetus akibat kejatuhan nilai mata wang Iran yang kini mencecah lebih 1.4 juta rial bagi setiap AS$1, didorong sekatan antarabangsa berkaitan program nuklear negara itu.
Demonstrasi kemudian berkembang menjadi tuntutan menentang kepimpinan teokrasi.
Rakaman video yang tular turut didakwa menunjukkan puluhan mayat di sebuah pusat forensik di pinggir Tehran, dipercayai mangsa kekerasan pihak berkuasa. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


