DUNIA
Iran fail aduan rasmi ke PBB terhadap ketua IAEA Rafael Grossi
Grossi dituduh bersikap berat sebelah dan tunduk kepada tekanan politik dari Amerika Syarikat, tiga negara Eropah, dan Israel. - Foto X/@AJEnglish
TEHRAN: Kerajaan Iran telah memfailkan aduan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, atas dakwaan “kegagalan bertindak” terhadap serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran.
Ringkasan AI
- Iran telah memfailkan aduan rasmi kepada PBB terhadap Ketua IAEA Rafael Grossi, mendakwa beliau gagal melindungi kemudahan nuklear Iran daripada serangan Israel dan tunduk kepada tekanan politik.
- Aduan tersebut menyatakan Grossi melanggar perjanjian antarabangsa, termasuk Statut IAEA dan Protokol Tambahan Geneva, serta menjadikan IAEA -alat- dalam serangan ketenteraan.
- Pihak berkuasa Iran mengkritik laporan IAEA sebagai bermotif politik, dan menuntut pertanggungjawaban terhadap akibat kemanusiaan yang timbul; tiada maklum balas rasmi dikeluarkan oleh IAEA setakat ini.
Menurut laporan media tempatan dan kenyataan rasmi oleh Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), Mohammad Eslami, aduan itu menyatakan bahawa Grossi dan IAEA telah “mengabaikan tanggungjawab mereka” dalam melindungi kemudahan nuklear Iran yang berada di bawah pemantauan agensi tersebut.
Eslami menuduh Grossi bersikap berat sebelah dan tunduk kepada tekanan politik dari Amerika Syarikat, tiga negara Eropah, dan Israel.
Beliau turut menyatakan bahawa serangan udara Israel ke atas fasiliti seperti reaktor air berat Arak, loji pengayaan Natanz dan pusat penyelidikan Isfahan berlaku “walaupun amaran berulang telah diberikan kepada IAEA”.
Dalam surat rasmi bertarikh 13 Jun, Iran menegaskan bahawa tindakan Grossi melanggar Statut IAEA, Perjanjian Keselamatan Menyeluruh (INFCIRC/214), dan Protokol Tambahan kepada Konvensyen Geneva.
Iran juga menyifatkan tindakan Grossi sebagai “pengkhianatan terhadap rejim non-proliferasi” dan mendakwa beliau telah menjadikan IAEA sebagai “alat kepada perang agresif Israel”.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, turut mengkritik laporan IAEA yang dikeluarkan sebelum serangan Israel, menyifatkannya sebagai “bermotif politik” dan memberi ustifikasi kepada tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Beliau menegaskan bahawa Grossi perlu bertanggungjawab atas “akibat kemanusiaan” yang timbul daripada laporan tersebut.
Setakat ini, pihak IAEA belum mengeluarkan kenyataan balas rasmi terhadap aduan tersebut.