DUNIA
Iran gagalkan serangan siber berskala besar Israel terhadap rangkaian perbankan, infrastruktur kritikal
Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan bahawa beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara, termasuk rangkaian perbankan, berjaya digagalkan. - Foto Reuters
ISTANBUL: Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan bahawa beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara, termasuk rangkaian perbankan, berjaya digagalkan sejak tercetusnya konflik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Agensi Berita Mehr pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Iran berjaya menggagalkan beberapa serangan siber oleh Israel ke atas infrastruktur penting negara termasuk sistem perbankan, dan mendakwa turut merosakkan sistem kawalan ketenteraan Israel.
- Iran juga menyekat cubaan musuh untuk menyebar perisian hasad melalui telefon mudah alih dan memberi amaran tegas kepada pihak yang bersubahat dengan Israel.
- Konflik tercetus sejak 13 Jun selepas serangan udara Israel ke atas Iran, menyebabkan ratusan kematian dan kecederaan, serta mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tehran.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Komando itu memaklumkan antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan "distributed denial-of-service" (DDoS) berskala besar, mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data, serta mengakibatkan kerosakan sebahagian ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkait dengan operasi ketenteraan.
Selain itu, Iran turut menyekat usaha mengeksploitasi perisian hasad menerusi telefon mudah alih oleh pihak musuh, menurut kenyataan itu lagi.
Komando Keselamatan Siber Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang bersekongkol dengan Israel akan dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Konflik ketenteraan tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan tentera dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, media Iran melaporkan seramai 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas negara itu.
-- BERNAMA
#krisis Iran-Israel
#serangan siber
#Komando Keselamatan Siber Iran
#sistem infrastruktur penting Iran