DUNIA

Iran gantung kerjasama dengan IAEA, tuduh ketua agensi lindungi serangan Israel-AS

Astro Awani 27/06/2025 | 23:15 MYT
Araghchi menuduh Grossi berperanan dalam “memudahkan pengeboman haram” oleh Israel dan AS dengan menyebarkan maklumat sensitif mengenai kemudahan nuklear Iran. - Foto fail/AP
TEHRAN: Iran secara rasmi menggantung semua bentuk kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas kemudahan nuklearnya, menurut kenyataan Menteri Luar Abbas Araghchi.
Dalam satu hantaran di platform X, Araghchi menyatakan bahawa keputusan Parlimen Iran untuk menghentikan kolaborasi dengan IAEA adalah demi menjamin keselamatan dan integriti program nuklear negara.
Beliau turut menyalahkan Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, kerana didakwa gagal mengutuk serangan tersebut dan “menyembunyikan fakta bahawa isu-isu terdahulu telah pun ditutup sedekad lalu”.
Araghchi menuduh Grossi berperanan dalam “memudahkan pengeboman haram” oleh Israel dan AS dengan menyebarkan maklumat sensitif mengenai kemudahan nuklear Iran.
Beliau menyifatkan permintaan Grossi untuk melawat tapak yang dibom sebagai “berniat jahat” dan “tidak relevan”.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kenyataan keras itu hadir selepas IAEA melaporkan bahawa kemudahan nuklear Iran mengalami “kerosakan besar” akibat serangan udara, walaupun agensi itu tidak menggunakan istilah “dimusnahkan sepenuhnya”.
Rusia turut menggesa Iran agar meneruskan kerjasama dengan IAEA, dengan Menteri Luar Sergei Lavrov menekankan bahawa Iran tidak bercadang membangunkan senjata nuklear.
Dalam kenyataan berasingan, Araghchi menafikan sebarang rancangan untuk menyambung semula rundingan damai dengan AS, menyatakan bahawa “tiada perjanjian atau perbincangan baharu telah dibuat”.
#abbas araghchi #IAEA #Rafael Grossi #kemudahan nuklear