Skip to main content

Dunia

Iran gesa Negara Teluk tidak benarkan AS guna wilayah mereka untuk serangan

KONFLIK ASIA BARAT
Menurut Kementerian Luar Iran, serangan udara yang dilancarkan oleh AS pada sebelah malam itu merupakan pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

MOSCOW: Kementerian Luar Iran menegaskan pada Rabu  bahawa negara-negara Teluk memikul tanggungjawab untuk menghalang Amerika Syarikat (AS) daripada menggunakan wilayah mereka bagi melancarkan serangan terhadap Iran, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut kementerian itu, serangan udara yang dilancarkan oleh AS pada sebelah malam itu merupakan pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kementerian Luar mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan tentera AS terhadap Iran. Kami sekali lagi mengingatkan semua negara di rantau ini, terutamanya yang berada di pesisir selatan Teluk Parsi, mengenai tanggungjawab undang-undang dan moral mereka untuk menghalang penggunaan wilayah serta kemudahan mereka oleh AS dan Israel.

"Ini termasuk dalam merancang, menganjur, melaksanakan atau menyokong tindakan agresif terhadap Iran," menurut kenyataan kementerian itu yang dipetik oleh Press TV.

Kementerian itu turut menekankan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan haknya bagi mempertahankan diri, termasuk menyerang punca serangan, serta pangkalan dan kemudahan logistik yang digunakan untuk menjalankan serta menyokong operasi agresif terhadap Iran.

Selain itu, Kementerian Luar Iran turut menarik perhatian mengenai tanggungjawab PBB, Majlis Keselamatan PBB dan Setiausaha Agungnya untuk melindungi keamanan serta keselamatan antarabangsa, di samping menuntut akauntabiliti daripada pihak yang melanggar undang-undang berkenaan.

Pada Selasa malam, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa tentera AS telah selesai melaksanakan serangan terhadap Iran sebagai tindak balas kepada serangan ke atas sebuah helikopter Apache.

Menurut CENTCOM, operasi itu menyasarkan kemudahan pertahanan udara, stesen kawalan darat dan tapak radar pengawasan Iran yang terletak berhampiran Selat Hormuz.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata sebuah helikopter Apache AH-64 milik AS yang mengalami nahas di luar pantai Oman telah dijatuhkan oleh Iran dan menegaskan AS bertanggungjawab untuk bertindak balas. Kedua-dua juruterbang dilaporkan berjaya diselamatkan.

CENTCOM kemudiannya mengumumkan permulaan serangan balas terhadap Iran ekoran insiden helikopter berkenaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement