DUNIA
Iran isytihar hari berkabung negara sempena pengebumian komander tertinggi
Kerajaan bandar Tehran telah mengarahkan penutupan pejabat awam bagi membolehkan rakyat menghadiri upacara pengebumian. - Foto AP
TEHRAN: Iran mengisytiharkan hari berkabung negara sempena majlis pengebumian beberapa komander tertinggi tentera yang terkorban dalam konflik berdarah selama 12 hari dengan Israel, lapor penyiar rasmi IRIB.
Upacara penuh penghormatan itu dijadual berlangsung pada Sabtu di Dataran Revolusi, Tehran, bermula jam 8 pagi waktu tempatan, sebelum perarakan jenazah menuju ke Dataran Azadi, kira-kira 11 kilometer dari lokasi asal.
Antara tokoh utama yang akan dikebumikan ialah:
- Jeneral Mohammad Bagheri, Ketua Turus Angkatan Tentera
- Jeneral Hossein Salami, Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC)
- Jeneral Amir-Ali Hajizadeh, Ketua Bahagian Aeroangkasa IRGC
- Mohammad Mehdi Tehranchi, saintis nuklear terkemuka
- Beberapa pegawai kanan lain serta ahli keluarga mereka
Mereka dilaporkan terbunuh dalam siri serangan udara oleh Israel, termasuk ketika berada di kediaman masing-masing, dalam konflik yang bermula pada 13 Jun.
Pihak berkuasa Iran mendakwa lebih 30 komander kanan dan 627 orang awam terkorban dalam serangan tersebut.
Kerajaan bandar Tehran telah mengarahkan penutupan pejabat awam bagi membolehkan rakyat menghadiri upacara pengebumian.
Presiden Massoud Peseshkian dijangka hadir, namun kehadiran Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei masih belum disahkan.
Langkah keselamatan diperketatkan di seluruh ibu negara, walaupun gencatan senjata kini sedang berkuat kuasa.
Penganalisis melihat majlis ini sebagai detik penting dalam sejarah moden Iran, dengan ramai menganggap para korban sebagai syuhada perjuangan negara.