DUNIA

Iran kecam IAEA membisu terhadap serangan Israel-AS, tuntut kebertanggungjawapan pelaku

Bernama 30/06/2025 | 21:15 MYT
Menurut Baghaei, resolusi IAEA yang menyatakan Iran melanggar obligasi nuklearnya telah 'memberi alasan kepada rejim Zionis (Israel) dan AS untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear aman Iran.' - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Iran pada Isnin mengkritik badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana berdiam diri terhadap serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu, sambil menuntut kebertanggungjawapan "pelaku serangan", lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Seseorang tidak boleh mengharapkan sesebuah negara untuk menjadi ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan memenuhi kewajipannya, sementara Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Ketua Pengarahnya (Rafael Grossi) selaku pihak berkuasa berkenaan, sama ada berdiam diri atau membenarkan serangan haram ke atas kemudahan nuklear aman Iran," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei pada satu sidang media di Tehran.
"Situasi ini memerlukan agensi dan ketuanya membuat semakan serius dan menyeluruh terhadap pendekatan mereka mengenai kerjasama dengan Iran," katanya.
Baghaei berkata resolusi IAEA baru-baru ini yang menyatakan Iran melanggar obligasi nuklearnya telah "memberi alasan kepada rejim Zionis (Israel) dan AS untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear aman Iran."
"Kami telah membawa isu ini kepada badan-badan berkaitan dan akan terus menyusulinya.
"Tuntutan utama kami kepada badan-badan antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, adalah agar pelaku serangan ini dikenal pasti secara rasmi. Majlis Keselamatan mesti mengesahkan perkara ini dan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan Israel dan AS bertanggungjawab atas tindakan mereka," katanya.
Jurucakap itu turut menimbulkan keraguan untuk terus bekerjasama dengan Ketua IAEA selepas serangan Israel.
"Bagaimana anda boleh mengharapkan kami menjamin keselamatan pemeriksa agensi itu sedangkan kemudahan nuklear aman Iran telah diserang hanya lima atau enam hari lepas?"
Beliau turut mengecam pendirian Perancis dan Jerman berhubung serangan Israel ke atas Iran sebagai "amat tidak boleh diterima."
Konflik antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran, menyebabkan sekurang-kurangnya 606 orang maut dan 5,332 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
AS turut mengebom kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan, sekali gus meningkatkan ketegangan konflik itu.
Tehran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Israel, mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dan lebih 3,400 cedera, menurut angka yang dikeluarkan Hebrew University of Jerusalem.
Konflik itu terhenti selepas gencatan senjata tajaan AS berkuat kuasa pada 24 Jun.
-- BERNAMA
#Iran #IAEA #Amerika Syarikat #Israel #PBB