DUNIA
Iran kecam AS-Israel, tegaskan hak terhadap program nuklear damai
Esmaeil (foto) berkata hak Iran untuk memiliki tenaga nuklear yang aman adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa, khususnya di bawah Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT). -Gambar fail/mfa.gov.ir
TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan bahawa Republik Islam itu akan terus mempertahankan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman, meskipun berdepan ancaman Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel.
Ringkasan AI
- Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan Iran akan terus mempertahankan hak menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman di bawah Perjanjian NPT, walaupun berdepan ancaman AS dan Israel.
- Parlimen Iran meluluskan undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan IAEA, menetapkan syarat seperti jaminan keselamatan saintis dan fasiliti nuklear serta penegasan hak Iran di bawah NPT.
- Baghaei menyifatkan dakwaan AS mengenai kemusnahan kemudahan nuklear Iran sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada tindakan ketenteraan yang melanggar undang-undang antarabangsa, dan menggesa kecaman global terhadap pencerobohan tersebut.
Dalam temu bual bersama Al Jazeera, Esmaeil berkata hak Iran untuk memiliki tenaga nuklear yang aman adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa, khususnya di bawah Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).
"Iran berhak sepenuhnya, di bawah NPT, untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman. Dan Iran bersedia mempertahankan hak itu dalam apa jua keadaan," kata Esmaeil.
Beliau turut mengulas ketetapan Jawatankuasa Parlimen Iran hari ini yang meluluskan pelan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan IAEA, sebagai reaksi terhadap serangan oleh AS dan Israel ke atas tapak nuklear Iran.
"Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menggantung, bukan menamatkan, kerjasama dengan IAEA," katanya.
Tegas beliau, adalah wajar bagi wakil rakyat Iran untuk menilai semula cara mereka berurusan dengan badan pengawasan nuklear itu setelah negara mereka menjadi mangsa pencerobohan.
Esmaeil menjelaskan bahawa rang undang-undang berkenaan menetapkan beberapa syarat bagi sebarang bentuk penglibatan masa hadapan dengan IAEA, termasuk jaminan keselamatan saintis dan fasiliti nuklear Iran, serta penegasan terhadap hak Iran di bawah Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).
Mengulas dakwaan AS bahawa kemudahan utama nuklear Iran musnah sepenuhnya, beliau menafikannya namun mengaku beberapa kemudahan nuklearnya telah mengalami kerosakan teruk akibat serangan berulang oleh Amerika Syarikat dan Israel.
"Ya, kemudahan nuklear kami telah rosak teruk, itu pasti kerana telah diserang berulang kali," katanya, sambil menambah bahawa isu itu kini ditangani oleh Pertubuhan Tenaga Atom Iran serta agensi teknikal berkaitan.
Esmaeil turut menyifatkan kenyataan oleh AS itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada tindakan ketenteraan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
"Perkara utama yang harus diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa ialah mengutuk tindakan tidak sah Amerika Syarikat ini," katanya sambil menyifatkan serangan berkenaan sebagai tamparan hebat terhadap undang-undang antarabangsa, diplomasi, dan etika.
Esmaeil turut mengkritik sikap segelintir pihak antarabangsa yang menurutnya cuba meremehkan impak sebenar serangan tersebut.
"Ia satu petanda yang sangat membimbangkan apabila ramai yang memilih untuk membincangkan keberkesanan serangan ini, dan bukan soal keparahan tindakan pencerobohan terhadap Iran," tegasnya.