DUNIA
Iran komitmed kekalkan hubungan mesra dengan Qatar walaupun lancar serangan

Peluru berpandu pemintas dilancarkan selepas angkatan bersenjata Iran mengaku menyasarkan pangkalan Al-Udeid dalam satu serangan peluru berpandu, seperti dilihat dari Doha, Qatar, 23 Jun 2025. REUTERS
TEHRAN: Iran menegaskan bahawa pihaknya masih komited untuk mengekalkan hubungan mesra dengan Qatar dan rakyatnya, walaupun baru-baru ini melancarkan serangan ke atas Pangkalan Tentera Udara Al Udeid yang terletak di negara Teluk itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, serangan tersebut disifatkan sebagai langkah ketenteraan yang bersasar dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk awam.
“Pangkalan yang menjadi sasaran oleh pasukan Iran yang berkuasa terletak jauh daripada kawasan perumahan dan kemudahan awam di Qatar,” menurut kenyataan itu.
“Tindakan ini tidak membawa sebarang kesan berbahaya terhadap negara sahabat dan bersaudara kami, Qatar, serta rakyatnya yang mulia,” tambah kenyataan tersebut lagi.Al Udeid Air Base, yang menempatkan kehadiran tentera Amerika Syarikat dan sekutu, dilaporkan menjadi sasaran serangan balas Teheran dalam perkembangan terbaharu ketegangan di rantau Asia Barat.
Bagaimanapun, Iran menjelaskan bahawa tindakannya itu hanya ditujukan kepada kehadiran tentera asing dan tidak mencerminkan permusuhan terhadap kerajaan atau rakyat Qatar.
Kenyataan ini dilihat sebagai usaha Teheran untuk mengelakkan keretakan hubungan diplomatik dengan Doha, yang selama ini memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam pelbagai krisis serantau.
Setakat ini, pihak berkuasa Qatar belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung serangan tersebut, namun difahamkan langkah berjaga-jaga keselamatan telah ditingkatkan di sekitar kawasan berkenaan.
Situasi di rantau itu terus menjadi perhatian komuniti antarabangsa yang bimbang kemungkinan tercetusnya konflik lebih meluas sekiranya ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat terus memuncak. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami