Iran lancar divisyen dron tentera laut

Bernama
Julai 16, 2022 04:29 MYT
Divisyen itu mengandungi unit permukaan dan dalam laut selain mampu membawa pelbagai jenis dron tempur dan pengintipan serta dron yang boleh melancarkan serangan maut.
TEHRAN: Tentera Iran pada Jumaat melancarkan divisyen tentera laut pembawa dron yang pertama seumpamanya di perairan Lautan Hindi, lapor Agensi Anadolu.
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis yang dihadiri pegawai tertinggi tentera dan disiarkan di televisyen, memetik kenyataan tentera.
Divisyen itu mengandungi unit permukaan dan dalam laut selain mampu membawa pelbagai jenis dron tempur dan pengintipan serta dron yang boleh melancarkan serangan maut, memetik media kerajaan.
Pelancaran divisyen itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengadakan lawatan sulung di Asia Barat, termasuk ke Israel dan Arab Saudi.
Sempena lawatan ke Israel, Biden dan Perdana Menteri Yair Lapid dilaporkan menegaskan semula keazaman untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Komander tertinggi tentera Iran, Jeneral Abdolrahim Mousavi, berkata Tehran sedar dengan "sikap agresif" AS dan tentera Iran akan berusaha mempertahankan negara serta meningkatkan "keupayaan pertahanannya".
"Jika musuh membuat kesilapan, divisyen dron ini akan bertindak," katanya.
Terdahulu pada Khamis Presiden Ebrahim Raisi ketika berucap dalam satu perhimpunan awam di barat Iran beliau berikrar akan mengambil apa jua langkah yang perlu terhadap sebarang tindakan "AS atau sekutunya."
Hubungan Iran dan AS semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan perkembangan ini dilihat boleh menggugat usaha untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015.
Pakar percaya lawatan Biden ke Israel dan pengisytiharan bersama Tel Aviv boleh mewujudkan halangan baharu dalam rundingan perjanjian nuklear itu yang telah diadakan sejak April tahun lalu.
-- BERNAMA
#Iran #tentera #dron #keselamatan