[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Iran lancar serangan bertubi-tubi, beberapa lokasi Israel terjejas

Astro Awani 23/06/2025 | 08:03 MYT
IRGC berkata serangan itu melibatkan peluru berpandu bahan api pepejal dan cecair serta dron tempur yang direka untuk mengelirukan dan membebankan sistem pertahanan seperti Iron Dome dan David’s Sling. -Gambar AP
TEL AVIV: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila peluru berpandu Iran dilapor menghentam beberapa kawasan di Israel, termasuk Ashdod dan Lachish, menurut laporan media tempatan.

Ringkasan AI
  • Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Iran melancarkan peluru berpandu ke beberapa kawasan di Israel termasuk Ashdod, Lachish dan sekitar Jerusalem, menyebabkan kerosakan dan kecederaan.
  • Serangan menyebabkan siren amaran dibunyikan di seluruh Israel, termasuk di Knesset, dan orang awam terpaksa berlindung; IDF kini membenarkan mereka keluar selepas gelombang serangan berakhir.
  • Dalam tempoh 10 hari terakhir, serangan berterusan dari Iran telah menyebabkan kerosakan besar, pemindahan penduduk, dan lebih 30,000 tuntutan pampasan, dengan perbelanjaan kecemasan melebihi AS$4 juta sehari.

Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
The Times of Israel melaporkan pasukan perubatan telah dikerah ke Ashdod selepas satu peluru berpandu balistik dipercayai meletup di kawasan itu.
Sementara itu, YNet News melaporkan beberapa kerosakan di kawasan Lachish, selatan Jerusalem, dalam serangan sama.
Agensi berita Reuters pula melaporkan sebuah peluru berpandu dilihat melintasi ruang udara Jerusalem sebelum bunyi dentuman kuat kedengaran.
Siren amaran serangan udara turut dibunyikan di seluruh kawasan tengah dan selatan Israel, termasuk di Knesset, menyebabkan ahli parlimen terpaksa berlindung di lokasi perlindungan bawah tanah.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam kenyataannya mengesahkan mereka telah melancarkan gelombang serangan terbaharu ke atas Israel menggunakan gabungan peluru berpandu dan dron, dalam apa yang digambarkan sebagai operasi taktikal untuk menembusi sistem pertahanan udara berlapis Israel.
Menurut agensi berita Tasnim, IRGC berkata serangan itu melibatkan peluru berpandu bahan api pepejal dan cecair serta dron tempur yang direka untuk mengelirukan dan membebankan sistem pertahanan seperti Iron Dome dan David’s Sling.
“Gelombang ini dilaksanakan dengan taktik khas bagi menembusi lapisan perisai pertahanan udara Israel,” kata kenyataan itu.
Setakat ini, serangan telah direkodkan di lima lokasi utama iaitu Safed, Tel Aviv, Ashkelon, Ashdod, dan Beisan.
Beberapa letupan besar dilaporkan berlaku di kawasan tersebut, namun tiada maklum balas rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel setakat ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan bahawa orang awam kini dibenarkan keluar dari tempat perlindungan selepas gelombang serangan peluru berpandu dari Iran berakhir, menurut laporan media tempatan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas siren amaran dibunyikan di seluruh Israel, termasuk di Jerusalem, Tel Aviv dan Haifa, susulan serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Iran.
IDF memaklumkan bahawa pasukan penyelamat kini sedang beroperasi di beberapa kawasan yang menerima impak serangan, termasuk lokasi di mana kerosakan dilaporkan berlaku.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai kematian, namun beberapa kecederaan telah dilaporkan di Haifa dan kawasan tengah Israel.
Operasi penilaian kerosakan masih dijalankan.
Dalam tempoh 10 hari terakhir, serangan berterusan dari Iran telah menyebabkan kerosakan besar di seluruh Israel, terutamanya di kawasan tengah dan bandar pelabuhan Haifa.
Lebih 30,000 rakyat Israel telah memfailkan tuntutan pampasan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara.
Pihak berkuasa tempatan kini membelanjakan lebih AS$4 juta sehari untuk menampung keperluan kecemasan ini.
Serangan terbaharu ini berlaku ketika ketegangan di antara Iran dan Israel memuncak susulan serangan udara AS-Israel ke atas kemudahan nuklear Iran minggu lalu.
#serangan udara #peluru berpandu Iran #Ashdod Lachish #konflik Israel-Iran