[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
DUNIA

Iran lancar serangan ke atas lokasi strategik Israel, bangunan bursa antara terjejas

Astro Awani 19/06/2025 | 06:40 MYT
Kerosakan teruk pada bangunan Bursa Saham Tel Aviv susulan serangan. -X
TEL AVIV: Sekurang-kurangnya 47 individu dilaporkan cedera dalam beberapa siri serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas beberapa kawasan strategik di Israel pada awal pagi Rabu.

Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 47 individu cedera dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas beberapa kawasan strategik di Israel, termasuk Tel Aviv, Holon, Ramat Gan dan Beer Sheva.
  • Serangan menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan, termasuk runtuhan struktur kediaman dan kerosakan pada Pusat Perubatan Soroka serta Bursa Saham Tel Aviv, dengan dua individu dilaporkan kritikal.
  • Media Iran melaporkan sasaran utama adalah pusat komando dan risikan tentera Israel serta kem tentera di Gav-Yam, namun tiada pengesahan rasmi dari Israel mengenai kerosakan ketenteraan; siasatan masih diteruskan.

Menurut laporan Al Jazeera, antara kawasan yang terjejas ialah Gush Dan di tengah Israel yang meliputi bandar raya Tel Aviv, termasuk Holon, Ramat Gan dan Be’er Sheva di selatan negara haram itu.
Beberapa bangunan dilaporkan rosak teruk manakala sebuah struktur kediaman di Holon dilaporkan runtuh akibat impak letupan.
Pusat Perubatan Soroka, salah sebuah hospital utama di Be’er Sheva, mengalami kerosakan kecil pada struktur luar bangunan bersebelahan, dipercayai akibat gelombang letupan dari peluru berpandu yang meletup di kawasan berhampiran.
Tiada kebocoran bahan berbahaya dilaporkan dan orang awam diminta menjauhi kawasan insiden sementara pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Agensi kecemasan Magen David Adom mengesahkan sekurang-kurangnya dua individu berada dalam keadaan kritikal, manakala lebih 20 lagi mengalami kecederaan ringan, termasuk dalam serangan berasingan di Ramat Gan dan Holon.
Sementara itu, media rasmi Iran IRNA melaporkan bahawa sasaran utama serangan tersebut adalah pusat komando dan risikan tentera Israel (IDF C4I) serta kem tentera di Taman Teknologi Gav-Yam, yang terletak berhampiran Soroka Hospital.
Menurut IRNA, kemudahan ketenteraan tersebut menjadi sasaran tepat dalam operasi yang disasarkan terhadap infrastruktur pertahanan Israel.
Bangunan Bursa Saham Tel Aviv turut mengalami kerosakan dalam serangan terbabit.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ini merupakan antara insiden paling serius sejak peningkatan ketegangan antara Iran dan Israel susulan konflik berpanjangan di Gaza.
Tiada pengesahan rasmi daripada pihak Israel mengenai kerosakan ketenteraan, namun siasatan masih diteruskan.
#Konflik Iran-Israel #serangan peluru berpandu #Bursa Saham Tel Aviv #Pusat Perubatan Soroka