DUNIA
Iran lulus rang undang-undang gantung kerjasama dengan IAEA
Iran menuduh IAEA memberi justifikasi kepada Israel dan AS untuk menyerang kemudahan nuklear negara itu, menyebabkan penilaian semula hubungan dengan agensi tersebut. -Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Majlis Penjaga Iran telah meluluskan rang undang-undang (RUU) yang digubal oleh Parlimen pada Selasa bagi menggantung kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menurut laporan agensi berita tempatan, Young Journalists Club (YJC).
Ringkasan AI
- Majlis Penjaga Iran meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) susulan ketegangan geopolitik.
- Iran menuduh IAEA memberi justifikasi kepada Israel dan AS untuk menyerang kemudahan nuklear negara itu, menyebabkan penilaian semula hubungan dengan agensi tersebut.
- Iran menegaskan keperluan jaminan keselamatan bagi saintis dan fasiliti nuklear sebagai syarat kepada sebarang bentuk kerjasama masa depan dengan IAEA.
Keputusan itu diambil susulan peningkatan retorik terhadap IAEA dalam kalangan pemimpin tertinggi Iran, yang mendakwa agensi itu telah memberi justifikasi kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear negara itu.
"Kerjasama dengan IAEA akan digantung seperti yang diluluskan oleh Parlimen dan kini disahkan oleh Majlis Penjaga," kata seorang jurucakap badan tersebut kepada YJC.
Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, turut menyatakan bahawa keputusan untuk menilai semula hubungan dengan IAEA adalah reaksi semula jadi terhadap tindakan pencerobohan terang-terangan, sambil menegaskan keperluan jaminan keselamatan bagi saintis dan fasiliti nuklear Iran sebagai syarat kepada sebarang bentuk kerjasama masa depan.