Skip to main content

Dunia

Iran, Pakistan gantung sementara perdagangan rentas sempadan

Orang ramai melintasi pintu sempadan Taftan yang menghubungkan Pakistan dan Iran di mana kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang kira-kira 900 kilometer. – Gambar fail/Reuters.
Orang ramai melintasi pintu sempadan Taftan yang menghubungkan Pakistan dan Iran di mana kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang kira-kira 900 kilometer. – Gambar fail/Reuters.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Iran dan Pakistan menggantung sementara pergerakan serta perdagangan rentas sempadan atas alasan masalah teknikal dan kebimbangan keselamatan.
  • Pihak berkuasa kedua-dua negara sedang berunding untuk menyelesaikan isu tersebut dan memulihkan operasi di pintu masuk sempadan.
  • Setakat ini, tiada pengesahan rasmi kaitan penggantungan itu dengan pakatan pertahanan Makkah atau konflik Houthi-Arab Saudi.

KUALA LUMPUR: Iran dan Pakistan menggantung sementara pergerakan serta urusan perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara susulan masalah teknikal dan kebimbangan keselamatan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga susulan beberapa masalah teknikal yang memerlukan tindakan segera.

“Susulan beberapa masalah teknikal yang berlaku serta keperluan mengambil langkah berjaga-jaga, pergerakan dan urusan rentas sempadan digantung buat sementara waktu,” katanya dalam wawancara bersama agensi berita rasmi Iran, IRNA semalam.

Menurut Baghaei, pihak berkuasa kedua-dua negara sedang berhubung rapat dan mengadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Katanya, usaha itu bertujuan memastikan operasi di pintu masuk sempadan dapat dipulihkan dan kembali berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Pakistan memberikan penjelasan berbeza apabila mengaitkan penggantungan perdagangan rentas sempadan dengan faktor keselamatan.

Timbalan Pesuruhjaya Daerah Chagai di wilayah Balochistan, Bakhtiar Ismail Baloch, barat daya Pakistan memaklumkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah sementara bagi memperkukuh pengurusan sempadan.

Menurutnya, tindakan berkenaan turut bertujuan menyokong operasi membanteras keganasan serta memastikan kawalan keselamatan di kawasan sempadan dapat dipertingkatkan.

Pihak berkuasa Pakistan turut memaklumkan, perdagangan rentas sempadan akan dibuka semula sebaik langkah keselamatan yang berkesan dilaksanakan.

Setakat ini, kedua-dua negara belum mengumumkan tempoh sebenar penggantungan berkenaan atau tarikh operasi perdagangan rentas sempadan dijangka disambung semula.

Untuk rekod, sempadan Iran-Pakistan sering berdepan cabaran keselamatan, termasuk kegiatan penyeludupan dan ancaman kumpulan militan yang beroperasi di wilayah berkenaan.

Pada Januari 2024, hubungan kedua-dua negara pernah tegang selepas Iran dan Pakistan saling melancarkan serangan merentasi sempadan yang masing-masing didakwa menyasarkan kumpulan militan, sebelum hubungan diplomatik dipulihkan.

Perkembangan itu berlaku ketika Pakistan turut memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Arab Saudi dan Turkiye menerusi Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah atau Mecca Pact yang dimeterai pada 7 Ogos lalu.

Perjanjian berkenaan menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap salah satu daripada tiga negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya. 

Pakistan bagaimanapun menegaskan pakatan itu bersifat pertahanan dan tidak ditujukan terhadap mana-mana negara, sebaliknya bertujuan memperkukuh keselamatan serta kestabilan serantau.

Pada masa sama, ketegangan di Asia Barat semakin memuncak susulan pertempuran antara kumpulan Houthi atau Ansar Allah di Yaman, yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, dan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi.

Konflik itu semakin meruncing apabila kumpulan Houthi melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap beberapa kemudahan strategik Arab Saudi, termasuk lapangan terbang antarabangsa di Riyadh. 

Pada 13 Oktober, ibu pejabat syarikat minyak Saudi Aramco di Dhahran turut menjadi sasaran serangan peluru berpandu yang dikaitkan dengan Houthi, menyebabkan kebakaran kecil dan kerosakan bangunan. 

Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi pula meningkatkan serangan terhadap kedudukan Houthi di Yaman, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik itu akan terus merebak dan menggugat kestabilan serantau. 

Situasi berkenaan meletakkan Pakistan dalam kedudukan diplomatik yang rumit, memandangkan Islamabad mengekalkan hubungan dengan Tehran, namun pada masa sama mempunyai komitmen pertahanan bersama Riyadh.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi bahawa penggantungan perdagangan di sempadan Iran-Pakistan mempunyai kaitan langsung dengan pakatan pertahanan Makkah atau konflik Houthi dan Arab Saudi.

Must Watch Video

Advertisement