DUNIA
Iran perlu bersetuju sebelum 'tiada apa-apa yang tinggal' - Trump

Trump mendakwa, beliau telah cuba mengemudi pemimpin Iran ke arah diplomasi tetapi mereka gagal bertindak. - Reuters
PRESIDEN Donald Trump memberi amaran kepada Iran pada Jumaat untuk bersetuju dengan perjanjian nuklear 'sebelum tiada apa-apa yang akan tinggal'.
Kenyataan itu merupakan komen pertama Trump sejak Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Jumaat.
Malah, Trump mendakwa, beliau telah cuba mengemudi pemimpin Iran ke arah diplomasi tetapi mereka gagal bertindak.
"Dua bulan lalu saya memberi Iran kata dua selama 60 hari untuk 'membuat perjanjian'."Mereka sepatutnya melakukannya! Hari ini adalah hari ke-61 ... Sekarang mereka mempunyai, mungkin, peluang kedua!"
"Saya memberi Iran peluang demi peluang untuk membuat perjanjian. Saya memberitahu mereka, dengan tegas bahawa tidak kira betapa sukarnya mereka mencuba, mereka tidak dapat menyelesaikannya," tulis Trump.
Trump turut menyatakan beberapa pemimpin Iran telah bersuara dengan berani, namun tidak tahu apa yang akan berlaku, selain turut mendakwa mereka sudah 'mati' dan keadaan akan menjadi lebih buruk.
Trump sebelum ini memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Iran boleh berlaku bila-bila masa.
Manakala laporan daripada Wall Street Journal menyatakan ia mungkin seawal Ahad ini sekiranya Tehran enggan menghentikan pengeluaran bahan untuk senjata nuklear.
Laporan itu turut memetik seorang pegawai kanan Israel yang memaklumkan bahawa serangan adalah kemungkinan sebenar sekiranya Iran tidak memberikan sebarang kompromi dalam rundingan.
Israel secara rasmi telah melancarkan serangan ke atas Iran awal pagi Jumaat, menurut Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sekali gus mencetuskan kebimbangan tercetusnya perang habis-habisan antara dua kuasa ketenteraan utama di Asia Barat.
Setakat ini, skala sebenar serangan dan jumlah kerosakan yang berlaku masih belum dapat dipastikan.
Serangan itu dijangka mencetuskan tindak balas pantas daripada Iran, yang berkemungkinan membabitkan pelancaran peluru berpandu balistik secara besar-besaran, sepertimana yang pernah berlaku dalam ketegangan serupa tahun lalu.
Menteri Pertahanan Israel mengesahkan serangan itu dan mengumumkan darurat di seluruh Israel.
Beliau turut menyatakan, serangan balas dengan peluru berpandu dan dron ke atas kawasan awam di Israel dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Siren kecemasan telah dibunyikan di Jerusalem dan beberapa bandar utama lain.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Iran mengesahkan bahawa Tehran telah diserang, dan pesawat pejuang Iran telah berlepas bagi mempertahankan ruang udara negara.
Pegawai itu juga mendakwa jet pejuang Israel sedang giat melancarkan serangan udara ke atas wilayah Iran.
Penduduk di Tehran turut melaporkan bahawa mereka mendengar beberapa letupan berturut-turut yang menggegarkan tingkap dan tanah, dengan cahaya terang kelihatan di langit bandar raya itu.
Ketika serangan berlaku, lebih 1,000 rakyat Iran sedang mengikuti satu sesi perbincangan langsung di aplikasi sosial Clubhouse, membincangkan isu diplomasi antara Iran dan Amerika Syarikat.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami