[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Iran perlu kembali ke meja rundingan atau berdepan serangan lebih buruk - Trump

Astro Awani 22/06/2025 | 03:10 MYT
Trump berucap dari Dewan Timur di White House, Washington. - Foto AP
WASHINGTON: Donald Trump mengesahkan tentera Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan, dalam satu operasi yang disifatkan sebagai “kejayaan ketenteraan yang luar biasa”.

Ringkasan AI
  • Presiden Donald Trump mengesahkan AS melancarkan serangan udara ke atas tiga fasiliti nuklear Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan - yang disifatkan sebagai kejayaan besar.
  • Trump memberi amaran keras kepada Iran, menyeru rundingan damai atau berdepan tindakan ketenteraan yang lebih berat pada masa akan datang.
  • Serangan ini menandakan penglibatan langsung pertama AS dalam konflik Iran-Israel, melibatkan penggunaan senjata canggih dan pergerakan besar aset ketenteraan ke rantau tersebut.

Presiden AS itu berkata, serangan tersebut telah “memusnahkan sepenuhnya” fasiliti pengayaan nuklear Iran yang selama ini menjadi tumpuan kebimbangan antarabangsa.
“Semua orang telah mendengar nama-nama ini selama bertahun-tahun ketika mereka membina satu perusahaan yang sangat merosakkan.
“Malam ini saya boleh laporkan kepada dunia bahawa serangan ini adalah kejayaan ketenteraan yang hebat," katanya.
Trump turut memberi amaran bahawa Iran kini berdepan dua pilihan, damai atau tragedi yang jauh lebih besar daripada apa yang berlaku dalam lapan hari kebelakangan ini.
“Ingat, masih banyak sasaran yang tinggal. Malam ini adalah yang paling sukar dan mungkin paling berbahaya.
"Tetapi jika damai tidak tercapai dengan segera, kami akan menuju ke sasaran lain dengan ketepatan, kepantasan dan kemahiran,” tegasnya.
Serangan ini menandakan penglibatan langsung pertama AS dalam konflik bersenjata antara Israel dan Iran yang semakin memuncak sejak pertengahan Jun.
Menurut laporan, serangan ke atas Fordow dipercayai melibatkan penggunaan bom GBU-57 “bunker buster”, satu-satunya senjata yang mampu menembusi fasiliti bawah tanah Iran.
Trump tidak menyebut secara langsung kemungkinan perubahan rejim di Tehran, namun menegaskan bahawa operasi ketenteraan ini dianggap selesai, kecuali jika Iran enggan kembali ke meja rundingan.
“Mesej saya kepada rejim Iran adalah ringkas dan jelas, datang ke meja rundingan, atau serangan seterusnya akan berlaku. Dan ia akan jauh lebih besar. Dan jauh lebih mudah,” katanya.
AS dilaporkan telah menggerakkan aset ketenteraan secara besar-besaran ke rantau berkenaan, menunjukkan kesediaan untuk bertindak pantas sekiranya diperlukan.
#Donald Trump #Iran #tapak nuklear #rundingan