TEHRAN: Iran dan Rusia mendesak agar perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Tebing Barat dihentikan segera, kata Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian pada Jumaat.

Gesaan itu dibuat susulan lawatan sehari Presiden Iran Ebrahim Raisi ke Moscow dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di Kremlin, lapor Agensi Berita IRNA.

Amirabdollahian berkata sebahagian besar rundingan tertumpu kepada isu Palestin dan Rusia sedang mempertimbangkan inisiatif untuk Gaza.

Beliau berkata selain menekankan mengenai perlunya menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Tebing Barat, kedua-dua pihak juga mendesak Israel berhenti mengusir penduduk Gaza dan membuka segera sempadan Rafah untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai isu dua hala dan bertukar pandangan mengenai kerjasama dalam beberapa sektor utama, antaranya monetari dan perbankan, pengangkutan, tenaga, sains dan teknologi serta kerjasama serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA