DUNIA

Iran sedia berdepan ‘perang habis-habisan' dengan Barat - Presiden Masoud Pezeshkian

Agensi 27/12/2025 | 23:10 MYT
Menurut Pezeshkian, angkatan tentera Iran kini lebih bersedia berbanding ketika serangan terdahulu. - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mendakwa, Amerika Syarikat (AS), Israel dan negara-negara Eropah sedang melancarkan “perang habis-habisan” terhadap republik itu.

“Saya berpendapat kita kini berada dalam perang habis-habisan dengan Amerika, Israel dan Eropah. Mereka tidak mahu negara kita stabil,” katanya dalam wawancara bersama laman rasmi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada Sabtu.

Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS, Donald Trump pada Isnin.

Ia juga hadir enam bulan selepas Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran, selain tindakan Perancis, Jerman dan United Kingdom mengenakan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran pada September berhubung program nuklear negara itu.

Menurut Pezeshkian, angkatan tentera Iran kini lebih bersedia berbanding ketika serangan terdahulu.

“Angkatan tentera kita menjalankan tugas dengan penuh kekuatan. Dari segi kelengkapan dan tenaga manusia, walaupun berdepan pelbagai cabaran, kita kini lebih kuat berbanding ketika mereka (Israel dan AS) menyerang,” ujarnya.

Beliau memberi amaran, jika serangan baharu dilancarkan, pihak musuh akan berdepan tindak balas lebih tegas.

Presiden itu turut menyifatkan konflik semasa lebih rumit berbanding perang Iran-Iraq pada 1980 hingga 1988.

“Perang ini lebih buruk daripada perang Iraq terhadap kita. Jika difahami dengan mendalam, ia jauh lebih kompleks dan sukar,” katanya.

AS dan sekutunya menuduh Iran cuba memperoleh senjata nuklear, dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Tehran.

Israel dan Iran sebelum ini terlibat dalam perang selama 12 hari pada Jun, susulan serangan besar-besaran Israel terhadap kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran, termasuk kawasan awam.

Serangan itu mengorbankan lebih 1,000 nyawa, menurut pihak berkuasa Iran.

AS kemudian menyertai operasi Israel dengan mengebom tiga tapak nuklear Iran, sekali gus menggagalkan rundingan berhubung program nuklear yang bermula pada April.

Sejak kembali ke White House pada Januari, Trump menghidupkan semula dasar “tekanan maksimum” terhadap Iran, termasuk mengenakan sekatan tambahan bagi melumpuhkan ekonomi negara itu dan menyekat hasil jualan minyak di pasaran global.

Laporan terkini menyebut, Netanyahu dijangka mendesak Trump untuk melaksanakan tindakan ketenteraan tambahan terhadap Iran, kali ini menyasarkan program peluru berpandu Tehran, ketika pertemuan mereka di resort Mar-a-Lago, Florida hujung minggu ini. - Agensi





#Iran #perang #Masoud Pezeshkian #tentera iran