DUNIA
Iran sedia selesaikan isu dengan Amerika Syarikat - Presiden Pezeshkian
Presiden Pezeshkian turut mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada negara-negara sahabat dalam usaha menstabilkan keadaan. - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan negaranya untuk menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit dengan Amerika Syarikat (AS), lapor penyiar rasmi negara itu, IRIB.
Kenyataan itu dibuat ketika Pezeshkian mengadakan panggilan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, di mana beliau turut mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada negara-negara sahabat dalam usaha menstabilkan keadaan.
Perbualan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung ketika Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menghadiri mesyuarat tergempar di Doha, Qatar, bersama rakan sejawat dari negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - blok ekonomi dan politik yang dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan tindakan agresif Iran di Qatar, termasuk serangan yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat pada Isnin lalu.
Mesyuarat itu turut dijadual meneliti implikasi keselamatan susulan serangan tersebut serta langkah-langkah untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan serantau. - Agensi