DUNIA

Iran sedia sertai rundingan nuklear apabila 'pencerobohan Israel dihentikan'

Astro Awani 20/06/2025 | 23:10 MYT
Araghchi turut menuduh Washington sebagai -rakan jenayah- kepada tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran. - Foto fail/AP
TEHRAN: Iran menyatakan kesediaannya untuk kembali ke meja rundingan berhubung program nuklearnya, namun hanya selepas serangan ketenteraan Israel dihentikan sepenuhnya.

Ringkasan AI
  • Iran bersedia untuk menyertai rundingan nuklear hanya selepas serangan Israel dihentikan, sambil menolak sebarang perbincangan dengan Amerika Syarikat selagi pencerobohan berterusan.
  • Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak, dengan kedua-dua pihak melancarkan serangan udara dan peluru berpandu, menyebabkan korban jiwa dan ketegangan antarabangsa meningkat.
  • Usaha diplomasi diteruskan oleh negara Eropah, namun Iran hanya mahu berbincang tentang pengurangan pengayaan uranium, bukan penghapusannya, sementara PBB beri amaran tentang risiko serangan ke atas kemudahan nuklear.

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, ketika konflik bersenjata antara kedua-dua negara memasuki minggu kedua.
“Kami tidak akan berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana pihak selagi pencerobohan Israel berterusan,” tegas Araghchi dalam satu siaran televisyen negara.
Beliau turut menuduh Washington sebagai “rakan jenayah” kepada tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran.
Israel sebelum ini melancarkan siri serangan udara ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear di Iran, termasuk kemudahan penyelidikan dan tapak peluru berpandu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan lebih 400 peluru berpandu dan dron ke arah wilayah Israel, menyebabkan kematian dan kecederaan di kedua-dua belah pihak.
Pertemuan antara Araghchi dan menteri luar dari Perancis, Jerman, dan United Kingdom di Geneva berlangsung dalam usaha Eropah untuk menghidupkan semula diplomasi.
Walaupun Iran menolak rundingan dengan AS buat masa ini, Tehran menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan negara-negara Eropah mengenai had pengayaan uranium, namun menolak sebarang cadangan untuk menghentikan pengayaan sepenuhnya.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa serangan ke atas kemudahan nuklear boleh membawa kesan radioaktif yang melampaui sempadan negara yang diserang.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, menyeru semua pihak agar menunjukkan “tahap kawalan maksimum” dalam konflik ini.
Presiden AS, Donald Trump, dijangka membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada akan menyertai Israel dalam tindakan ketenteraan atau membuka ruang kepada rundingan baharu.
#abbas araghchi #rundingan nuklear #Iran #Israel