Skip to main content
Advertisement

Dunia

Iran sentiasa kenang solidariti yang dihulurkan kerajaan, rakyat Malaysia

71737454445_HabibrezaArzani.jpg
Arzani mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan negara di atas sambutan Hari Kebangsaan ke-69 serta mendoakan agar kebaikan dan budi pekerti rakyat Malaysia dikurniakan keamanan, keselamatan dan kemakmuran. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persahabatan dan solidariti yang dihulurkan oleh Malaysia terhadap Iran akan sentiasa dikenang oleh warga Republik Islam itu. 

Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran di Malaysia, Habib-Reza Arzani berkata rakyat berserta kerajaan telah menunjukkan simpati dan sokongan yang mendalam ketika Iran diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.

“Kami akan sentiasa mengenangnya sebagai suatu manifestasi bermakna yang mencerminkan ikatan persahabatan serta nilai kemanusiaan yang kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 yang disiarkan pada Isnin.

Arzani turut mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan negara di atas sambutan tersebut serta mendoakan agar kebaikan dan budi pekerti rakyat Malaysia dikurniakan keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

"Saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa agar rakyat Malaysia yang baik dan berbudi luhur terus dikurniakan keamanan, keselamatan, kemakmuran, kemajuan, perpaduan serta masa depan yang cerah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut berharap hubungan persahabatan antara Iran dan Malaysia terus berkembang dalam bidang kebudayaan, sains, pendidikan dan kesenian menerusi pertukaran kemahiran antara kedua-dua negara.

“Semoga kedua-dua pihak dapat memperkukuh pelbagai nilai bersama dan mengorak langkah lebih jauh bersama ke arah keamanan, keadilan serta solidariti kemanusiaan," katanya.

Pada masa sama, Arzani turut menyifatkan pengalaman selama tiga tahun berkhidmat di Malaysia tidak terasa asing baginya.

Jelasnya, terdapat pelbagai persamaan dari sudut budaya, moral dan nilai kemanusiaan antara kedua-dua negara terutama melibatkan solidariti terhadap nasib yang menimpa penduduk Gaza serta Palestin.

“Ia merupakan satu manifestasi bernilai tinggi yang mencerminkan hati nurani kemanusiaan dan rasa belas ihsan terhadap mereka yang menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya lagi. 


 

Must Watch Video

Advertisement