TEHRAN dan Washington dilaporkan bersetuju untuk mewujudkan mekanisme komunikasi bagi mengelakkan konflik serta insiden yang boleh mengganggu laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Menurut Ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata kedua-dua pihak akan menubuhkan pusat penyelarasan dan talian komunikasi khas bagi menangani sebarang salah faham atau pertikaian yang mungkin berlaku di perairan strategik itu.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan memastikan kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz dapat beroperasi dengan lebih selamat dan lancar, sekali gus membantu meningkatkan aktiviti perdagangan serta ekonomi serantau dan global.
Qalibaf turut memaklumkan bahawa Iran berjaya mendapatkan pengecualian sementara terhadap beberapa sekatan yang membolehkan negara itu meneruskan penjualan minyak serta menjalankan urusan perbankan, insurans dan pengangkutan antarabangsa.
Beliau juga mengesahkan bahawa perjanjian berkaitan pelepasan AS$12 bilion aset Iran yang dibekukan sebelum ini telah dimuktamadkan dalam rundingan bersama Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran bahawa Washington akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya Iran gagal mematuhi syarat perjanjian yang dipersetujui.
Minggu lalu, Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menandatangani perjanjian sementara antara kedua-dua negara, lebih tiga bulan selepas konflik ketenteraan melibatkan Iran, AS dan Israel yang mencetuskan ketegangan di Asia Barat.