[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Iran tegaskan komitmen terhadap perjanjian nuklear PBB walaupun diserang

Astro Awani 23/06/2025 | 07:48 MYT
Majid berkata Tehran akan terus menjadi anggota yang komited kepada perjanjian tersebut dan akan meneruskan pengayaan uranium untuk tujuan aman termasuk keperluan tenaga. -Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Iran menegaskan tidak akan menarik diri daripada Perjanjian Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) walaupun berdepan serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Ringkasan AI
  • Iran menegaskan akan kekal sebagai penandatangan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) walaupun berdepan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel, dan akan terus memperkaya uranium untuk tujuan damai.
  • Timbalan Menteri Luar Iran menyatakan tiada sebab untuk meneruskan dialog ketika serangan masih berlaku, dan menyifatkan tindakan ketenteraan sebagai sabotaj terhadap proses diplomatik.
  • Walaupun tiada peningkatan radiasi dikesan, Iran telah mengehadkan akses pemeriksaan IAEA ke beberapa lokasi sensitif, menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap potensi perlumbaan senjata nuklear di rantau itu.

Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Entekhab berkata, Tehran akan terus menjadi anggota yang komited kepada perjanjian tersebut dan akan meneruskan pengayaan uranium untuk tujuan aman termasuk keperluan tenaga.
“Kami tidak berunding semata-mata untuk berunding,” katanya.
Majid dalam bagaimanapun menegaskan tiada sebab untuk meneruskan dialog ketika serangan masih berlaku, lapor Al Jazeera.
Serangan udara oleh AS dan Israel pada Ahad lalu menyasarkan beberapa tapak strategik termasuk Fordow, Natanz dan Isfahan, ketika rundingan nuklear di antara Iran dan kuasa-kuasa Barat sedang berlangsung.
Iran menyifatkan tindakan itu sebagai sabotaj terhadap proses diplomatik.
Walaupun terdapat tekanan dalaman agar Iran keluar daripada NPT, Majid menegaskan bahawa negara itu akan terus mematuhi kerangka perjanjian tersebut.
“Kami akan terus memperkaya uranium dalam had yang dibenarkan untuk tujuan damai,” katanya.
Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata tiada peningkatan tahap radiasi dikesan di luar tapak serangan, namun mengesahkan bahawa Iran kini mengehadkan akses pemeriksaannya ke beberapa lokasi sensitif.
Iran telah menjadi penandatangan NPT sejak 1970 dan berulang kali menafikan dakwaan bahawa ia sedang membangunkan senjata nuklear.
#Iran #Majid Takht-Ravanchi #NPT #Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear