[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Iran tekad teruskan program nuklear walaupun diancam AS

Astro Awani 24/06/2025 | 10:06 MYT
Mohammad Eslami (foto) berkata persiapan pemulihan telah dijangka lebih awal bagi memastikan tiada gangguan terhadap pengeluaran atau perkhidmatan nuklear. -Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Iran hari ini menegaskan komitmennya untuk meneruskan program nuklear negara itu meskipun berdepan tekanan dan ancaman dari Amerika Syarikat (AS), termasuk selepas serangan udara terhadap beberapa fasiliti nuklear di negara tersebut.

Ringkasan AI
  • Iran menegaskan komitmen untuk meneruskan program nuklear walaupun berdepan tekanan dan serangan dari Amerika Syarikat, dengan langkah pemulihan terhadap fasiliti yang terjejas sedang dijalankan.
  • Ketua AEOI, Mohammad Eslami, menyatakan bahawa persiapan pemulihan telah dijangka lebih awal bagi memastikan tiada gangguan terhadap pengeluaran atau perkhidmatan nuklear.
  • Ketua IAEA, Rafael Grossi, menyeru Iran agar menyambung semula kerjasama teknikal dan pemantauan, serta mencadangkan pertemuan dengan Menteri Luar Iran untuk mencari penyelesaian diplomatik terhadap kontroversi nuklear.

Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), Mohammad Eslami, berkata pihaknya telah mengambil langkah awal untuk menilai dan memulihkan kemudahan yang terjejas akibat serangan ketenteraan baru-baru ini, lapor Al Jazeera.
“Kami telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan dan sedang menilai kawasan yang terjejas.
"Persiapan untuk pemulihan telah dijangka lebih awal, dan rancangan kami adalah untuk mengelakkan sebarang gangguan terhadap pengeluaran atau perkhidmatan,” kata Mohammad Eslami seperti mana dipetik agensi berita Mehr.
Kenyataan itu menggambarkan pendirian tegas Iran untuk tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa, termasuk dari Washington, yang telah berulang kali menggesa Tehran supaya menghentikan pengayaan uranium ke tahap tinggi.
Sementara itu, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, dalam kenyataan di media sosial, menyeru Iran agar menyambung semula kerjasama teknikal dan pemantauan dengan agensinya, serta menyatakan hasrat bertemu Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam masa terdekat.
"Saya mengalu-alukan pengumuman mengenai situasi di Iran. Menyambung semula kerjasama dengan @IAEAorg adalah kunci kepada satu perjanjian yang berjaya.
"Saya telah menulis kepada @araghchi untuk menegaskan bahawa langkah ini boleh membawa kepada penyelesaian diplomatik terhadap kontroversi lama berhubung program nuklear, dan telah mencadangkan pertemuan dalam masa terdekat," tulis Grossi di X.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tiga lokasi utama program nuklear Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan – dilapor mengalami kerosakan besar susulan serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan AS pada 22 Jun lalu.
Menurut laporan rasmi dan imej satelit, kerosakan paling ketara berlaku di loji pengayaan bawah tanah Natanz yang menempatkan ribuan pengempar generasi baharu IR-6, dipercayai mengalami gangguan bekalan kuasa dan kerosakan struktur dalaman.
Di Isfahan, kemudahan penukaran uranium turut dilanda serangan, yang menjejaskan proses menukar uranium mentah kepada bentuk pengayaan.
Sementara itu, loji pengayaan Fordow yang dibina di bawah gunung berhampiran Qom, juga menjadi sasaran, meskipun ketahanan struktur bawah tanahnya menyukarkan penilaian tahap kerosakan.
#Mohammad Eslami #Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran #loji nuklear #IAEA #konflik Israel-Iran