Skip to main content

Dunia

Iran tetapkan syarat baharu buka semula Selat Hormuz, mahu AS ‘perbetulkan tingkah laku’

Strait of hormuz
Selat Hormuz merupakan laluan maritim paling penting bagi perdagangan tenaga global, menghubungkan Teluk Arab dengan Laut Arab dan Lautan Hindi. - Foto REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Iran menetapkan beberapa syarat baharu sebelum bersedia membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya, termasuk tuntutan agar Amerika Syarikat (AS) “memperbetulkan tingkah laku”, menarik kehadiran tenteranya di rantau Teluk dan menamatkan sekatan terhadap republik Islam itu.

Menurut kenyataan yang disiarkan media kerajaan Iran, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohammad Bagher Zolghadr, berkata laluan perkapalan strategik itu tidak akan dibuka semula sehingga Washington memenuhi beberapa tuntutan utama Tehran.

Antara syarat yang dikemukakan ialah AS tidak lagi mengancam Iran, menamatkan tindakan ketenteraan terhadap Iran dan sekutunya di rantau itu, menarik balik sekatan laut ke atas pelabuhan Iran, mengundurkan aset ketenteraan dari kawasan berkenaan, membayar pampasan kerosakan perang serta membebaskan aset Iran yang dibekukan.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Sardar Mohebi, turut menegaskan bahawa pembukaan semula Selat Hormuz bukan bergantung kepada rundingan Iran dengan Oman semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada penerimaan penuh syarat-syarat yang ditetapkan Tehran oleh AS.

Perkembangan itu berlaku ketika Iran dan Oman dilaporkan hampir memuktamadkan satu rangka kerja bagi menguruskan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata kedua-dua negara hampir mencapai persetujuan berhubung laluan transit kapal, namun menjelaskan bahawa ia tidak bermaksud selat berkenaan akan dibuka semula serta-merta.

Oman, yang bertindak sebagai perantara dalam rundingan tersebut, menyatakan perbincangan masih berlangsung dalam suasana yang “positif dan konstruktif”.

Selat Hormuz merupakan laluan maritim paling penting bagi perdagangan tenaga global, menghubungkan Teluk Arab dengan Laut Arab dan Lautan Hindi.

Sebarang gangguan di perairan itu boleh menjejaskan bekalan minyak dan gas asli dunia serta memberi kesan kepada harga tenaga antarabangsa.

Ketegangan di laluan tersebut meningkat selepas konflik melibatkan Iran, AS dan Israel pada awal tahun ini, yang menyebabkan operasi perkapalan terganggu dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penghantaran tenaga global.

Setakat ini, Washington belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap senarai tuntutan baharu yang dikemukakan Tehran.

 

 

Must Watch Video

Advertisement