[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Iran tiada halangan perkukuh kerjasama dengan Rusia - Presiden

Bernama 18/09/2025 | 11:45 MYT
Iran tidak melihat sebarang halangan untuk memperkukuh kerjasama dengan Rusia, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkia. - Gambar fail/REUTERS
TEHRAN: Iran tidak melihat sebarang halangan untuk memperkukuh kerjasama dengan Rusia, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada pertemuan dengan Menteri Tenaga Rusia, Sergei Tsivilev, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Presiden Iran Masoud Pezeshkian menegaskan tiada halangan untuk memperkukuh kerjasama dengan Rusia dalam semua bidang.
  • Iran dan Rusia berikrar untuk terus bekerjasama walaupun berdepan sekatan serta tekanan negara luar.
  • Kedua-dua negara percaya kerjasama mereka membuktikan pertumbuhan boleh dicapai tanpa bergantung kepada kuasa yang mengamalkan pendekatan unilateral.


"Iran memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan perjanjian antara kedua-dua pihak, dan semua saluran kerjasama yang diperlukan telah diwujudkan.

"Tiada halangan untuk melaksanakan perjanjian dua hala dan merealisasikan kerjasama antara Tehran dan Moscow," kata Pezeshkian pada pertemuan Rabu.

Beliau menegaskan Iran dan Rusia akan terus bekerjasama tanpa menghiraukan agenda sepihak oleh sesetengah negara.

"Contoh kejayaan kerjasama antara negara bebas seperti Iran dan Rusia akan membuktikan bahawa era pendekatan sepihak telah berakhir dan kita mampu mencapai pertumbuhan serta pembangunan tanpa bergantung kepada kuasa yang masih memilih pendekatan unilateral," katanya sambil meminta agar ucapan salam beliau disampaikan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin.

Tsivilev pula berkata bahawa sekatan dan tekanan tidak akan dapat menghalang kerjasama ekonomi serta perdagangan antara Moscow dan Tehran.

Awal September lalu, Pezeshkian dan Putin mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di China dan kedua-dua pemimpin membincangkan keputusan Eropah untuk memulakan semula sekatan PBB terhadap Tehran.

-- BERNAMA



#Iran #perkukuh kerjasama #Rusia #Masoud Pezeshkian